TEHRAN – Seorang lelaki Iran memecahkan Guinness World Records untuk kali ketiga selepas mengimbangi 96 batang sudu pada badannya, lapor agensi berita United Press International semalam.
Abolfazl Saber Mokhtari, 54, memecahkan rekod kategori sudu paling banyak diimbang di atas badan pada 2021 dengan catatan 85 batang sudu.
Pada 2023, dia memecahkan rekod tersebut menerusi 88 sudu dan kini, Abolfazl meningkatkan jumlah objek tersebut menjadi 96.
Menurut Abolfazl, dia mula ‘melekatkan’ objek pada badannya sejak dari kecil lagi.
“Apa sahaja objek yang mempunyai permukaan, ia boleh melekat pada badan saya. Antaranya adalah plastik, kaca, buah, batu, kayu dan manusia dewasa.
“Selepas beberapa tahun berlatih dan berusaha, saya dapat mengukuhkan bakat ini dan mengembangkannya ke tahap sekarang,” katanya. – AGENSI