GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak menolak kemungkinan melaksanakan larangan penjualan rokok elektronik atau vape di negeri ini sekiranya penguatkuasaan Akta 852 tidak menunjukkan kesan positif terhadap pengawalan produk tersebut.
Exco Belia, Sukan dan Kesihatan negeri, Daniel Gooi berkata, langkah itu merupakan antara komitmen kerajaan negeri dalam menjamin kesihatan awam, khususnya melibatkan golongan anak muda.
“Sekiranya selepas penguatkuasaan Akta 852 dalam mengawal selia rokok elektronik atau vape ini tidak membawa kesan yang positif, kerajaan negeri sedia mempertimbangkan pelaksanaanya, (larangan penjualan rokok elektronik atau vape),” katanya ketika sesi penggulungan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, di sini hari ini.
Akta 852 merupakan satu mekanisme untuk mengawal selia bekalan, penjualan dan pendaftaran produk merokok termasuk vape, khususnya larangan penjualan peranti ini kepada golongan bawah umur, dan telah dikuatkuasakan secara berfasa bermula 1 Oktober tahun lalu.
Menurut Daniel, kerajaan negeri memandang serius isu penggunaan vape terutama dalam kalangan orang belum dewasa (OBD) dan mengambil pendirian tegas menyokong larangan penggunaannya. – KOSMO! ONLINE