KUALA LUMPUR – Lebih 1,200 petugas media tempatan dan antarabangsa telah mendaftar bagi membuat liputan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang akan berlangsung di ibu negara pada 26 hingga 27 Mei ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan bahawa lebih 500 daripada jumlah tersebut merupakan wakil media antarabangsa, sekali gus mencerminkan minat dan perhatian tinggi masyarakat global terhadap sidang kemuncak itu.
“Penyertaan yang memberangsangkan ini membuktikan kredibiliti serta keupayaan Malaysia sebagai tuan rumah dalam menarik liputan meluas daripada media serantau dan global.
“Ia mencerminkan perhatian dan kepentingan besar terhadap peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas meninjau Pusat Media Antarabangsa Sidang Kemuncak ASEAN-46 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Tambah Fahmi, bagi memastikan kelancaran liputan media, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menyediakan capaian internet 5G di kawasan persidangan.
“Tiga unit pemancar berskala besar dan 26 unit berskala kecil telah dipasang sebagai langkah persediaan teknikal,” katanya.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan orang ramai agar berwaspada terhadap penyebaran maklumat tidak sahih, khususnya melalui media sosial.
“Saya menyeru kepada semua pihak agar mendapatkan maklumat daripada sumber yang sahih dan rasmi daripada agensi-agensi media arus perdana yang lain.
“Semua pihak perlu elak menyebarkan atau mempercayai maklumat yang tidak dapat dipastikan kesahihannya, khususnya daripada media sosial yang tidak bertanggungjawab,” katanya. – KOSMO! ONLINE