ISKANDAR PUTERI – Lebih 50 penduduk hidup dalam ketakutan setelah rumah mereka yang terletak Jalan Jaya 60, Taman Mutiara Rini, di sini berdepan risiko terjejas kesan runtuhan bukit berhampiran.
Pekerja swasta, Angie Ng, 65, berkata, kesan runtuhan pada bukit itu semakin buruk dan tanah runtuhan itu menggelongsor sehingga ke pagar belakang rumah penduduk.
Katanya, perkara ini berlaku ekoran hujan lebat sejak beberapa bulan lalu dan keselamatan penduduk tidak ubah seperti telur di hujung tanduk.
“Saya sudah membuat aduan kepada pihak berwajib termasuk Ranhill SAJ dan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) sejak Januari lalu. Pihak berkenaan ada datang tutup runtuhan guna kanvas dan buat penghadang tetapi runtuhan terus berlaku kerana sejak kebelakangan ini.
“Saya dan keluarga sangat takut, kami tidak tidur di bilik belakang dan sentiasa berada dalam ketakutan apabila hujan lebat. Ada rumah jiran yang kawasan belakang rumahnya sudah dilitupi runtuhan tanah.
“Selain rumah penduduk, runtuhan tanah juga terkena rumah Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang terletak di bawah bukit. Kami berharap pihak bertanggungjawab dapat buat tindakan segera,” katanya kepada pemberita hari ini.-KOSMO! ONLINE