fbpx

Rancang disamun untuk lunas hutang along

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PEKAN – Gara-gara mahu melunaskan hutang along seorang suri rumah dikatakan bertindak nekad merancang samun ke atas dirinya dan juga ibu mentuanya di rumahnya di Felda Chini Timur 1 di sini pada 20 Mac lalu.

Berdasarkan laporan polis oleh suri rumah berusia 27 tahun itu, dalam kejadian kira-kira pukul 11.50 malam empat individu bertopeng bersenjatakan pisau yang memasuki rumah telah mengacukan pisau kepada anaknya yang berumur empat tahun.

Mengikut laporan, suspek kemudian menggeledah rumah pengadu dan mengambil barangan berharga termasuk barang kemas milik ibu mentua mangsa dengan nilai keseluruhan berjumlah RM12,000.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, susulan itu pihak polis telah menahan lima lelaki dan seorang perempuan pada 15 Mei lalu kerana disyaki terlibat dalam kejadian samun di Felda Chini Timur 1.

Katanya, siasatan lanjut mendapati mangsa yang membuat laporan polis berpura-pura menjadi mangsa samun dan telah membuat laporan polis palsu.

“Kejadian sebenar telah dirancang oleh mangsa sendiri bersama seorang lagi rakan lelaki berumur 34 tahun untuk merompak barangan kemas milik ibu mentua mangsa di sebuah rumah di Felda Chini Timur 1 di sini.

“Barangan kemas yang disamun dalam kejadian itu dijual oleh mangsa dan hasil daripada jualan tersebut digunakan untuk membayar rakan lelaki mangsa serta hutang Along,”katanya di sini hari ini.

Tambahnya, susulan itu polis menemui semula barangan kes termasuk tiga telefon bimbit, seutas rantai emas, seutas gelang tangan, kad bank serta dokumen surat akuan gadaian skim pajak gadai.

Dalam pada itu katanya, mangsa dan rakannya yang ditahan reman akan dituduh di Mahkamah Seksyen Kuantan pada Jumaat ini.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan samun bersenjata secara berkumpulan yang jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI