JOHOR BAHRU – Tindakan dua beradik yang enggan lagi menaiki van sekolah telah membongkar kisah dua kanak-kanak itu rupa-rupanya menjadi mangsa cabul pemandu van sekolah di Permas Jaya, di sini.
Kanak-kanak itu dikatakan telah beberapa kali menjadi sasaran pemandu van sekolah terbabit yang menyentuh mangsa berusia lapan dan sembilan tahun ketika menghantarnya ke sekolah.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya menerima laporan yang dibuat ibu mangsa semalam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan pada pukul 11.15 pagi.
Beliau berkata, susulan laporan itu, pihaknya telah menahan seorang lelaki berusia 42 tahun yang juga pemandu van sekolah di rumahnya di kawasan Plentong, pada pukul 9.50 malam tadi.
“Hasil siasatan mendapati suspek melakukan amang seksual terhadap dua beradik itu di dalam van sekolah di tepi Jalan Permas 1/1, Khamis lalu.
“Suspek yang sudah berkahwin itu dipercayai melakukan perbuatan tersebut beberapa kali terhadap mangsa dengan menyentuh bahagian kemaluan kanak-kanak tersebut,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Raub berkata, suspek tidak mempunyai rekod lampau dan ujian saringan urin juga adalah negatif, manakala pemeriksaan perubatan yang dibuat terhadap mangsa mengesahkan tiada kecederaan fizikal.
Suspek kini direman seminggu bermula hari ini hingga Isnin ini bagi menjalankan siasatan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017. – KOSMO! ONLINE