KAJANG – Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) akan mewujudkan dashboard untuk persatuan penjaja dan peniaga kecil di seluruh negara bagi membantu mengukuhkan institusi penjaja dan peniaga kecil di negara ini.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, DOSM dengan kerjasama Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Putrajaya (Penjaya) telah pun berjaya melancarkan Dashboard Penjaya.
“Ia satu inisiatif strategik berasaskan data yang bertujuan memperkasa penjaja dan peniaga kecil di Putrajaya. Berbentuk dashboard dan ‘self updating’,” katanya pada Majlis Peluncuran Dasboard Penjaya dekat sini hari ini.
Mohd. Uzir berkata, manfaat dashboard itu antaranya membantu penjaja dan peniaga kecil mendapat maklumat dan perkembangan terkini berhubung keadaan ekonomi di sesuatu kawasan.
Kata beliau, ia termasuk jumlah pelancong dan trend perbelanjaan mereka sekali gus membantu penjaja dan peniaga kecil membuat keputusan terbaik untuk perniagaan masing-masing.
Tambah beliau, mereka yang baru ingin memulakan perniagaan pula boleh mengetahui jumlah dan jenis perniagaan sedia ada di sesebuah kawasan sebelum membuat keputusan perniagaan untuk diceburi.
“Industri peniaga kecil ini mudah masuk, mudah keluar. Mungkin ada yang sudah tidak berniaga. Kita mungkin juga akan ada data berbentuk penjaja sepenuh masa dan yang jadikan punca pendapatan kedua.
“Dashboard ini boleh juga dijadikan sebagai asas untuk buat ‘loan’ dan sebagainya, boleh nyatakan potensi berdasarkan angka dirujuk,” katanya.
Mohd. Uzir berkata, beliau percaya dashboard untuk persatuan penjaja dan peniaga kecil di seluruh negara itu akan dapat direalisasikan akhir tahun ini sekiranya diterima baik oleh setiap
persatuan penjaja dan peniaga kecil.
Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM), Datuk Zainal Abidin Abdul Majid berkata, kewujudan dasboard tersebut akan memberi banyak kelebihan kepada GPPPKMM.
Kata beliau, berdasarkan data pada GPPPKMM yang mempunyai sebanyak 177 cawangan di seluruh negara, jumlah keahilan adalah seramai 498,000 orang.
“Kita belum ada satu statisitik yang disahkan sebagai benar. Data yang kita ada di gabungan ini susah juga untuk diambil kira sebab ada yang sudah mati tidak lapor. Jadi kita buat satu kerjasama dengan DOSM, kita akan dapat ‘real data’,” katanya.
Ujar beliau, data yang tepat akan memudahkan GPPPKMM untuk mendapatkan bantuan kerajaan untuk
penjaja dan peniaga kecil. – KOSMO! ONLINE