fbpx
EKORAN kejayaan seorang pesakit jantung dari Australia yang survive dengan jantung titanium selama lebih 100 hari baru-baru ini, banyak pihak melihat potensinya menjadi solusi masalah kekurangan penderma jantung global.

Jantung titanium mampu ganti jantung sebenar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Kegagalan fungsi atau penyakit jantung boleh menjadi pembunuh buat manusia tanpa mengira status, latar belakang dan umur.

Antara masalah terbesar dalam perubatan penyakit jantung adalah kekurangan penderma, sekali gus menyebabkan ramai pesakit terpaksa menunggu lama untuk menerima rawatan.

Dianggarkan hanya sekitar 6,000 pemindahan jantung dilakukan setiap tahun di seluruh dunia, sedangkan jutaan pesakit mengalami kegagalan organ itu pada tahap akhir.

Terdapat pelbagai alternatif telah dibangunkan menerusi inovasi jantung tiruan atau peranti bantuan jantung seperti alat bantuan ventrikel kiri (LVAD), jantung tiruan sepenuhnya (TAH) dan jantung titanium.

Baru-baru ini, penggunaan jantung titanium dikatakan telah berjaya di Australia apabila seorang pesakit jantung lelaki ‘survive’ lebih 100 hari selepas penggunaannya.

Presiden Texas Heart Institute di Amerika Syarikat (AS), Joseph Rogers berkata, jantung titanium mungkin boleh membantu menangani masalah kekurangan penderma.

Ujarnya, usaha itu dapat memastikan pesakit dapat meneruskan hidup sementara menunggu pemindahan jantung sebenar dilakukan.

HOSPITAL St. Vincent di Sydney, Australia telah berjaya menjalankan pembedahan jantung titanium kepada pesakit.

Selain itu, bukan semua individu yang mengalami kegagalan jantung layak menerima pemindahan jantung manusia disebabkan faktor usia dan keadaan kesihatan pesakit.

Jantung yang didermakan biasanya dikhaskan kepada mereka yang menghadapi komplikasi paling serius.

“Pada ketika ini, masih tidak jelas sama ada jantung titanium boleh menjadi pengganti kekal atau tidak. Pakar mengatakan itu adalah matlamat utama mereka mencipta jantung titanium.

“Kami bermula dengan kohort pesakit yang secara klinikal merosot sementara menunggu pemindahan jantung.

“Namun, populasi pesakit yang tidak menjalani pemindahan sebagai pilihan semakin bertambah,” katanya kepada agensi berita Al Jazeera.

Tambah Rogers, kemajuan teknologi dan sains perubatan telah berjaya menambah baik fungsi dan manfaat jantung tiruan bagi membantu pesakit bertahan.

PELBAGAI kejayaan dalam penggunaan jantung tiruan dapat dilihat di seluruh dunia ketika ini. Terbaharu, portal Smithsonian magazine melaporkan mengenai seorang lelaki berusia 40-an dari New South Wales, Australia telah berjaya menggunakan jantung titanium.

Lelaki tersebut dilaporkan telah mencipta sejarah perubatan apabila menjadi individu pertama di dunia yang keluar dari hospital dengan jantung tiruan diperbuat daripada titanium.

Pesakit yang mengalami kegagalan jantung teruk itu hidup selama lebih 100 hari dengan peranti tersebut sebelum menerima jantung daripada penderma pada Mac lalu.

Menurut pakar pemindahan kardiologi di Hospital St. Vincent di Sydney, Chris Hayward, lelaki yang enggan namanya didedahkan itu menawarkan diri untuk memasang jantung titanium sehingga organ manusia yang sepadan dengannya tersedia.

“Dalam kes ini, pesakit mempunyai bahagian kiri dan kanan jantung yang sangat lemah, jadi kami tidak mempunyai pilihan lain.

“Dia mengalami kegagalan jantung, di mana cecairnya terkumpul. Dia juga tidak boleh berjalan jauh kerana mudah mengalami sesak nafas,” ujarnya dalam video dikongsi oleh pihak hospital.

Tambahnya, lelaki itu menjalani pembedahan selama enam jam pada November tahun lalu.

Dia kekal di hospital di bawah pengawasan rapi doktor sehingga Februari lalu, sebelum menjadi orang pertama yang dilepaskan keluar dari hospital dengan peranti itu.

Lelaki yang tinggal berhampiran Hospital St. Vincent itu menjalani kehidupan normal dengan menggunakan jantung berkenaan.

RUPA jantung titanium yang dipasang pada tubuh pesakit.

Pada Mac lalu, jantung sepadan daripada penderma telah dikenal pasti, sebelum lelaki itu memilih untuk menjalani pembedahan pemindahan organ tersebut.

Kejayaan lelaki dari Australia itu bukan sahaja membuka lembaran baharu dalam teknologi perubatan, malah memberikan harapan kepada pesakit jantung di seluruh dunia yang menunggu pemindahan organ tersebut.

Untuk makluman, lelaki itu menggunakan jantung tiruan yang diperbuat daripada titanium sepenuhnya.

Peranti dikenali sebagai BiVACOR itu direka oleh jurutera bioperubatan Australia, Dr. Daniel Timms.

BiVACOR merupakan jantung tiruan sepenuhnya yang menggunakan teknologi levitasi magnetik untuk mengepam darah ke seluruh tubuh serta menggantikan fungsi kedua-dua ventrikel.

Dengan hanya satu bahagian bergerak iaitu rotor yang ‘digantung’ secara magnetik, peranti itu boleh mengurangkan kehausan mekanikal serta meningkatkan ketahanan.

Pada asalnya, BiVACOR berfungsi sebagai ‘jambatan’ kepada pesakit sementara menunggu pemindahan jantung dilakukan.

Bagaimanapun, peranti itu juga berpotensi menjadi pengganti jantung kekal bagi pesakit yang tidak layak menerima pemindahan organ tersebut akibat faktor usia atau keadaan kesihatan lain.

Jantung titanium berfungsi dengan cara berbeza daripada jantung sebenar.

Jantung semula jadi berdegup ketika mengepam darah, sebaliknya jantung titanium tidak berdegup langsung.

Hal ini kerana ia mempunyai cakera yang berputar di dalamnya bagi menggerakkan darah ke seluruh badan.

Cakera itu ‘terapung’ di tempatnya menggunakan magnet. Jadi, ia tidak menyentuh apa-apa bahagian pada alat itu, sekali gus menyebabkan tiada sebarang geseran dan haus dari semasa ke semasa.

Untuk terus berfungsi, jantung tiruan tersebut memerlukan alat kawalan yang dikuasakan oleh bateri.

Sementara itu, kabel nipis diletakkan di bawah kulit untuk menyambungkan jantung kepada alat kawalan tersebut.

Kebanyakan peranti jantung tiruan hanya menggantikan satu bahagian jantung dan biasanya pada sebelah kiri.

Namun, jantung BiVACOR menggantikan sepenuhnya fungsi organ itu, sekali gus menjadikannya pilihan untuk pesakit yang seluruh jantungnya gagal.

Meskipun begitu, penggunaan jantung tiruan menghadapi beberapa cabaran seperti sumber tenaga.

Hal ini kerana peranti itu memerlukan sambungan kepada sumber kuasa luaran yang mungkin mengehadkan mobiliti pesakit.​ Cabaran lain adalah pesakit masih perlu mengambil ubat pencair darah untuk mencegah pembekuan di dalam tubuh.

Selain itu, harga peranti serta kos pembedahan yang tinggi mungkin menjadi halangan kepada sesetengah pesakit untuk menggunakan jantung tiruan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN