LANGKAWI – Kira-kira lima rumah mengalami kerosakan dipercayai akibat gegaran berpunca daripada latihan pertunjukan udara sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA’25) pagi tadi.
Tinjauan di Kampung Padang Wahid, di sini mendapati berlaku kerosakan pada tingkap dan siling rumah.
Pemilik rumah, Anis Amilia binti Abdullah, 32, berkata, ketika kejadian dia berada di padang bola kira-kira 200 meter dari rumahnya bagi menyaksikan latihan tersebut.
“Bunyi letupan lebih kuat pada pagi tadi berbanding tahun-tahun sebelumnya.
“Bumbung rumah ini sudah banyak kali mengalami kerosakan kerana latihan LIMA tetapi ini kali pertama kami membuat laporan polis kerana tidak tahu sama ada kami boleh menuntut kerugian atau tidak,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Siti Hazirah Che Hamat, 38, dia sedang berniaga di bawah khemah betul-betul di hadapan rumahnya semasa kejadian kira-kira pukul 9 pagi tadi.
“Saya terasa khemah saya terangkat sebelah semasa bunyi letupan tersebut dan saya terdengar cermin tingkap rumah jiran meletup pada masa yang sama.
“Rumah saya dan jiran berkembar tetapi jiran saya mengalami lebih banyak kerosakan pada cermin tingkap berbanding saya hanya dua keping tingkap yang meletup,” ujarnya.
Kesemua mereka memberitahu ada pegawai polis telah datang ke rumah mereka bagi melihat kerosakan dan meminta mereka untuk membuat laporan rasmi. – KOSMO! ONLINE