SENTUHAN ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi terus membuahkan hasil selepas gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik merangkul gelaran pada Kejohanan Badminton Terbuka Thailand.
Pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Nimibutr, Bangkok semalam, bekas juara dunia itu dipaksa ‘bermandi peluh’ sebelum menewaskan beregu Denmark, Christian Kjaer-William Kryger Boe 20-22, 21-17, 21-12.
Walaupun tersentak dengan kekalahan mengejut di set pertama, namun pilihan kedua kejohanan itu berjaya mengembalikan fokus dan memperkemaskan permainan bagi memenangi dua set berikutnya.
Wooi Yik berkata, mereka memang sudah menjangkakan aksi sukar daripada pasangan Denmark itu biarpun pemain lawan berada pada ranking ke-75 dunia kerana percaya perlawanan akhir merupakan sesuatu yang berbeza.
“Saya rasa mereka bermain cukup baik walaupun masih muda. Mereka memiliki corak permainan menyerang dan bertahan yang sangat baik selain ada variasi permainan. ini perlawanan akhir, jadi sudah jangka akan sengit.
“Kami juga mahu menunjukkan sesuatu kepada jurulatih baharu (Herry) dan berjaya melakukannya. Di set ketiga, kami tidak bersandar kepada pengalaman sahaja kerana ia lebih kepada mental,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Sebagai rekod, sejak berada di bawah kendalian Herry, Aaron-Wooi Yik sudah pun meraih dua gelaran dalam tempoh sebulan, termasuk Terbuka Thailand serta Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Ningbo, China bulan lalu.
Sementara itu, kali terakhir mereka meraih gelaran dalam saingan Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) adalah ketika mereka memenangi kejohanan Korea Masters di Iksan City November tahun lalu.
Selaku juara, Aaron-Wooi Yik meraih hadiah wang tunai berjumlah AS$37,525 (RM161,207) berserta trofi dan pingat manakala Kjaer-Boe berpuas hari dengan AS$18,050 (RM77,542) dan pingat.