KUALA LUMPUR – Beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah meraih gelaran sulung musim ini selepas muncul juara pada Kejohanan Badminton Terbuka Thailand di Bangkok.
Pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Nimibutr sebentar tadi, pasangan No.4 dunia itu menewaskan beregu Korea Selatan, Jeong Na Eun-Lee Yeon Woo 21-16, 21-17.
Kemenangan itu cukup bermakna apabila mereka dapat menamatkan kemarau kejuaraan dalam tempoh lapan bulan selepas kali terakhir meraih gelaran pada Terbuka Hong Kong September tahun lalu.
Turun sebagai pilihan utama kejohanan, bekas juara Terbuka Perancis itu menampilkan aksi cukup kemas meskipun cuba diberi tentangan sengit gandingan No.105 dunia tersebut.
Ia juga pastinya menjadi pembakar semangat buat Pearly-Thinaah menjelang aksi di laman sendiri pada kejohanan Malaysia Masters yang akan membuka gelanggang Selasa ini.
Selaku juara, Pearly-Thinaah membawa pulang hadiah wang tunai AS$37,525 (RM161,207) berserta pingat dan trofi manakala Na Eun-Yeon Woo meraih AS$18,050 (RM77,542) dan pingat. – KOSMO! ONLINE