PETALING JAYA – Isu penderaan dan pengabaian terhadap kanak-kanak masih berada pada tahap membimbangkan apabila 1,181 kes penganiayaan dan penderaan direkodkan di Sabah tahun lalu.
Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat, Datuk Che Murad Sayang Ramjan berkata, statistik itu bukan sekadar angka, tetapi mewakili kisah duka, trauma dan ketidakadilan yang menimpa anak-anak kecil yang sepatutnya dilindungi dan diberi kasih sayang.
Katanya, situasi itu menuntut tindakan segera dan kesedaran menyeluruh dalam kalangan masyarakat termasuk ibu bapa, guru dan komuniti setempat.
“Justeru, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaksanakan Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: Kasih Kanak-Kanak.
“(Ia) bertujuan meningkatkan kefahaman dan kesedaran dalam kalangan kanak-kanak, ibu bapa dan komuniti mengenai isu pemeliharaan dan pelindungan kanak-kanak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program itu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Limbanak, Penampang, Sabah hari ini.
Menurut beliau, program advokasi itu turut mendedahkan peranan agensi kerajaan yang bertanggungjawab melindungi kanak-kanak serta memberikan maklumat mengenai saluran aduan seperti Talian Kasih 15999 dan WhatsApp 019-2615999.
“Pada 2024, program ini dilaksanakan di semua negeri di Malaysia termasuk 10 sekolah di Sabah. Susulan kejayaan itu, program ini kini disasarkan untuk dilaksanakan di 300 buah sekolah lagi sebagai kesinambungan usaha memperkasa kanak-kanak,” katanya.
Pada majlis sama, satu plag Talian Kasih diserahkan kepada Pengetua SMK Limbanak sebagai simbolik sokongan terhadap advokasi perlindungan kanak-kanak.
Turut disampaikan ialah mock cek cura berjumlah RM170,760 kepada Pengerusi Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak Daerah Penampang, Mardianah Ibo. – KOSMO! ONLINE