PETALING JAYA – Majlis Amanah Rakyat (Mara) dijangka menghantar 100 pelajar dalam bidang perubatan ke Universiti Al-Azhar, Mesir dalam masa terdekat selepas pihaknya telah mendapat kelulusan daripada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Berita gembira ini dikongsikan oleh Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menerusi catatan di Facebook beliau sebentar tadi.
“Alhamdulillah, Mara telah dapat kelulusan TPM YAB Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi untuk hantar 100 pelajar perubatan ke Universiti Al-Azhar Mesir.
“Keutamaan Pelajar Tahfiz Ulul-Albab,” katanya.
Terdahulu, Dr. Asyraf memaklumkan Universiti Al-Azhar bersetuju untuk memberikan diskaun yuran pengajian kepada pelajar tajaan Mara yang melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di institusi pendidikan berprestij itu.
Katanya, pihak Universiti Al-Azhar bersetuju mengurangkan kos yuran daripada RM150,000 kepada hanya RM85,000 bagi tempoh lima tahun pengajian. – KOSMO! ONLINE