KUALA TERENGGANU – Masalah berat badan berlebihan atau obesiti di Terengganu semakin membimbangkan melibatkan 76 peratus dalam kalangan golongan dewasa.
Pengarah Kesihatan Terengganu, Datuk Dr. Kasemani Embong berkata, seorang daripada tiga remaja negeri tersebut juga menghadapi masalah sama.
“Berdasarkan data pada tahun 2023, sebanyak 76 peratus individu dewasa Terengganu mengalami obesiti, meningkat berbanding cuma 60.8 peratus pada tahun 2011.
“Ia juga lebih tinggi berbanding purata obesiti kebangsaan iaitu 70.1 peratus,” katanya selepas merasmikan Kempen Kesedaran Obesiti Agenda Terengganu Sihat di Batu Burok di sini hari ini.
Dr. Kasemani berkata, kadar obesiti dalam kalangan golongan remaja Terengganu pula 29 peratus.
Beliau berkata, masalah obesiti dalam kalangan rakyat Terengganu banyak disumbang oleh pengambilan makanan dan minuman manis berlebihan dalam diet seharian.
“Antara punca obesiti dalam kalangan penduduk di Terengganu adalah pengambilan gula berlebihan dalam makanan dan minuman. Situasi tersebut merisaukan kerana menyumbang kepada peningkatan kes penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis dan tekanan darah tinggi,” katanya. – KOSMO! ONLINE