MENURUT Dr. Salleh, negara akan hilang sumber tenaga profesional jika terdapat pelajar cemerlang tetapi tidak mahu meneruskan pengajian atas pelbagai faktor.

Berhenti belajar terikut gaya hidup mewah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Kebelakangan ini, fenomena lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memilih untuk tidak melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi semakin bertambah.

Antara punca utama berlakunya perkara ini ialah sesetengah pelajar lebih berminat untuk terus bekerja kerana mahu mendapatkan pendapatan sendiri berbanding menyambung pengajian yang mengambil masa beberapa tahun lagi sebelum dapat menjana duit sendiri.

Selain itu, pengaruh media sosial juga menjadi salah satu punca ramai pelajar lebih tertarik untuk menjadi pencipta kandungan ataupun influencer yang dianggap jalan pantas untuk mencapai kejayaan.

Mengupas perkara ini, wartawan Kosmo! Ahad, Nur Huda Musa bertemu Pengarah Pusat Pembangunan Karier Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Salleh Amat di pejabatnya baru-baru ini.

Kosmo! Ahad: Tidak seperti dulu, ramai lepasan SPM pada masa ini tidak berminat untuk menyambung pelajaran dan lebih cenderungmencari pekerjaan. Apakah faktor utama dan sampingan yang menyebabkan fenomena ini berlaku?
DR. SALLEH: Terdapat banyak faktor yang boleh menjadi penyebab mengapa ada pelajar lepasan SPM yang memilih untuk tidak melanjutkan pelajaran.
Yang pertama, fenomena itu mungkin berlaku disebabkan pengaruh rakan-rakan ataupun media massa apabila sekarang ramai pempengaruh yang me­ngatakan dengan hanya membuat content, senang dapat duit dan sebagainya.

Selain itu, kita perlu lihat juga faktor ekonomi yang ada pada keluarga pelajar itu. Perkara ini kerana ada berlaku pelajar memperoleh keputusan yang bagus tetapi memilih untuk be­kerja.

Tetapi, kalau kita lihat pada pelajar yang berkata dia mahu bekerja terus, perkara itu tidak salah cuma kita mahu pelajar tahu hala tuju mereka seperti pekerjaan apa yang mereka mahu lakukan.

Ini kerana ada juga dalam sesetengah situasi, pelajar mahu bekerja dahulu kemudian baru sambung pengajian ke peringkat tertinggi. Jadi, dalam hal ini langkah pertama pelajar mesti tahu mengapa dia tidak mahu sambung pengajian.

Apa peranan ibu bapa dalam menggalakkan anak-anak mereka menyambung pelajaran sama ada dalam bidang akademik atau pun kemahiran?
Ibu bapa perlu sedar kepen­tingan melanjutkan pelajaran kerana apabila pelajar masuk ke universiti ataupun sijil kemahiran, mereka boleh mengubah cara hidup.

Saya yakin ibu bapa mahukan anak-anak mereka berjaya dalam akademik dan juga pekerjaan. Namun, ada sesetengah pelajar yang datang daripada keluarga susah, mereka berfikiran perlu bekerja untuk membantu keluarga dan sebagainya.

Kini banyak program-program berbentuk kemahiran yang disediakan kerajaan, sayang sekiranya ada pelajar yang mempunyai kemahiran tetapi tidak digalakkan untuk mendapatkan sijil.

Oleh itu, peranan ibu bapa adalah penting dalam usaha untuk memberikan kefahaman kepada kerjaya dan masa depan anak-anak.

Apakan kesan jangka panjang kepada keluarga dan negara jika perkara ini terus berlarutan saban tahun?
Bagi kesan jangka panjang, fenomena ini tidak bagus dan akan merugikan negara kerana kehilangan orang-orang yang berpengetahuan atau berkemahiran.

Kebelakangan ini juga tidak dapat dinafikan sudah ada panda­ngan-pandangan negatif tentang masuk ke universiti juga tidak boleh menjamin dapat pekerjaan yang bagus.

Namun mereka lupa, melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti juga membantu para pelajar untuk membina jati diri, kemahiran sosial dan menjadikan pelajar menjadi orang yang lebih bijak dan berwawasan.

Suasana di institusi pengajian tinggi (IPT) menyediakan satu platform yang membentuk diri pelajar.

PARA pelajar yang melanjutkan pengajian ke IPT dapat membina jati diri dan kemahiran sosial.

Apa yang akan berlaku kepada institusi pengajian tinggi sekiranya tidak ramai yang menunjukkan minat untuk terus menimba ilmu sebagai penyuluh di masa depan?
Saya boleh katakan penempatan dan peluang untuk melanjutkan pelajaran di negara ini masih kuat, malah kadangkala untuk memohon satu-satu program itu ramai dan tempat yang ditawarkan juga terhad.

Jadi, dari sudut itu ia tidak membimbangkan. Kesan yang dapat dilihat daripada masalah ini lebih kepada kesan terhadap negara, kerana negara memang akan rugi bila tiada siapa lagi mahu melanjutkan pelajaran.

Bayangkan ada pelajar yang memang bagus, tetapi tidak mahu belajar, itu menyebabkan negara hilang sumber tenaga profesional.

Adakah perkembangan terkini termasuk pengaruh influencer atau pempengaruh yang menayangkan kemewahan turut menjadi faktor anak-anak muda tidak berminat untuk belajar?
Saya setuju, mungkin ada pelajar yang sudah mula mempromosikan diri mereka kerana terikut-ikut dengan gaya hidup mewah.

Tetapi, pelajar perlu sedar jika mereka tiada kemahiran yang bagus dari segi komunikasi ataupun kemahiran untuk menyunting video dan menggunakan kamera, itu juga tidak mudah.

Jadi, kita minta juga pempe­ngaruh-pempengaruh, bantulah adik-adik kita ini, galakkan mereka melanjutkan pelajaran kerana tanpa kemahiran dan pelajaran sukar untuk mereka bertahan lama.

Apa peranan kerajaan dan kementerian berkaitan dalam masalah ini untuk terus memberi galakan kepada anak-anak muda agar berminat untuk meneruskan pengajian selepas SPM?
Peranan kerajaan perlu dimulakan di peringkat sekolah lagi. Saya yakin Kementerian Pendidikan (KPM) juga perlu lebih agresif melalui kaunselor-kaunselor sekolah untuk membuat peranca­ngan kerjaya pelajar.

Di peringkat sekolah lagi pelajar-pelajar sewajarnya dibantu untuk merancang laluan masuk ke universiti ataupun memilih kerjaya yang bersesuaian dengan bidang pengajian.

Pelajar juga boleh didedahkan dengan sekolah atau kolej yang bercorak vokasional, maknanya bukan fokus pada akademik semata-mata tetapi kemahiran pelajar.

Ramai orang berkata, faktor kemiskinan turut me­nyumbang kepada kurang minat dalam kalangan lepasan SPM untuk menyambung pendidikan biarpun cemerlang. Apa pandangan?

Pada pandangan saya, ini faktor yang sangat serius. Betul, ada pelajar yang berjaya masuk ke universiti tetapi terpaksa tolak kerana tidak berkemampuan.

Jadi, ibu bapa perlu tahu ba­nyak bantuan yang disediakan untuk membolehkan pelajar-pelajar melanjutkan pelajaran.

Sebagai contoh, terdapat biasiswa dan juga bantuan zakat. Malah ada juga program-program kerajaan seperti di Majlis Ama­nah Rakyat (Mara) yang boleh di­ikuti oleh pelajar-pelajar kurang berkemampuan.

Jadi, tidak boleh dijadikan alasan kemiskinan itu menghalang mereka untuk menyambung pe­ngajian atau mendapatkan sijil kemahiran.

Kerajaan telah menyediakan banyak ruang dan peluang kepada golongan muda untuk meneruskan pengajian sama ada dalam akademik ataupun kemahiran dengan memper­kenalkan Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET). Adakah semua ini tidak cukup buat mereka?
Pada saya ia bukan tidak cukup, tetapi mungkin dipe­ngaruhi persepsi negatif tentang melanjutkan pelajaran untuk tahap sijil kemahiran.

Ada juga pelajar yang mahu menyertai program vokasio­nal tetapi ibu bapa tidak tahu bagaimana caranya. Ini kadang-kala berlaku dalam kalangan keluarga yang tinggal di pedalaman.

Jadi, di sini peranan agensi-agensi kerajaan ini penting untuk cari pelajar yang tertinggal ini untuk bantu mereka sertai program bersesuaian. Kadang-kadang ada pelajar yang mempunyai minat, tetapi dia tidak nampak jalannya.


DR. SALLEH mahu pempengaruh di luar sana dapat meyakinkan lepasan SPM untuk menyambung pelajaran kerana tanpa kemahiran, mereka sukar bertahan lama dalam bidang diceburi.

Pada tahun lepas, lebih 8,000 calon SPM tidak hadir bagi semua kertas peperiksaan bertulis berbanding 10,160 orang pada tahun 2023. Biarpun angka ini telah turun tapi jumlahnya masih besar. Apa yang menyebabkan ia berlaku?
Masalah ini boleh berlaku di­sebabkan sikap pelajar itu sendiri mahupun ibu bapa. Pada pendapat saya, KPM perlu memainkan peranan melalui pihak sekolah untuk mengenal pasti siapakah mereka ini. Biasanya dari keha­diran pelajar kita sudah dapat lihat, ada yang kerap ponteng.

Jadi, sekolah perlu kenal pasti dahulu ada potensi atau tidak pelajar tidak hadir menduduki SPM. Kalau sudah dikenal pasti lebih awal, mungkin ada pencegahan yang boleh diambil.

Ada pelajar yang tidak ke sekolah kerana pergi bekerja disebabkan keluarga miskin dan ada juga yang mempunyai masalah keluarga. Jadi, dari situ sekolah boleh lihat apakah langkah yang boleh dilaksanakan untuk membantu pelajar tersebut.

Dalam hal ini, ibu bapa juga perlu sedar dengan pelajaranlah kitaran kemiskinan boleh dihentikan atau diubah.

Apa yang perlu dilakukan bagi mengelakkan perkara ini dari terus berlaku demi kebaikan pelajar itu sendiri?
Sebenarnya semua pihak perlu memainkan peranan, baik daripada pihak sekolah dan juga ibu bapa.

Sekiranya sikap ibu bapa tidak diubah, maka gelaplah masa depan anak-anak dan kitaran kemiskinan hidup tidak terhenti.

Di sekolah pula, saya yakin ada kaunselor, jadi mereka perlu memainkan peranan dalam mengenal pasti pelajar-pelajar yang menghadapi kesukaran untuk ke sekolah ini dan bantu mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN