PAMPLONA – Pengendali Atletico Madrid, Diego Simeone tidak berselindung apabila mengakui bertanggungjawab sepenuhnya atas kemerosotan prestasi pasukan ketika beraksi di gelanggang lawan musim ini.
Atletico tewas mengejut 0-2 kepada Osasuna dalam aksi La Liga awal pagi tadi menjadikan ia kekalahan kelima dalam enam perlawanan terakhir di tempat lawan, selain turut gagal menjaringkan gol dalam tiga aksi berturut-turut.
“Kami bermain lebih baik berbanding ketika menentang Alaves dan Las Palmas. Namun, yang jelas, jurulatih gagal cari jalan untuk buat pemain beraksi seperti di tempat sendiri.
“Ini tanggungjawab saya kerana mereka tidak dapat ulangi aksi sama seperti di Madrid,” kata Simeone.
Dalam perlawanan tersebut, Atletico dilihat kurang bertenaga berdepan Osasuna yang sedang berjuang untuk kembali ke saingan Eropah selepas hampir dua dekad.
“Kami sebenarnya ada peluang untuk mendahului tetapi tidak ambil kesempatan. Mereka pula manfaatkan situasi bola mati dan jaringan awal beri mereka kelebihan.
“Babak kedua kami lebih menguasai permainan tetapi kurang mencipta peluang berbahaya. (Ante) Budimir jaringkan gol cantik dan kami terpaksa akur dengan kekalahan ini,” tambah Atletico. – AGENSI