fbpx

Prestasi Sivasangari layak terima pujian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SIVASANGARI

MISI S. Sivasangari mencipta sejarah ke separuh akhir Kejohanan Dunia sulungnya tidak kesampaian, namun bintang negara itu tetap membuktikan dia layak dianggap antara pencabar utama arena skuasy wanita dunia.

Pemain ranking No. 9 dunia itu tewas kepada pemain tuan rumah, Olivia Weaver 3-11, 11-8, 4-11, 5-11 dalam aksi suku akhir berlangsung selama 41 minit di Pusat Sukan Lakseshore, Chicago, Amerika Syarikat (AS) semalam.

Biarpun keputusan itu meleburkan impian ke separuh akhir, pencapaian Sivasangari muncul lapan terbaik sudah pun melepasi sasaran asal, termasuk mengejutkan pemain No. 8 dunia, Amanda Sobhy dari AS di pusingan ketiga.

“Saya tetap bangga dengan pencapaian Sivasangari. Dia menunjukkan peningkatan besar dan telah membuktikan kemampuan bersaing di peringkat tertinggi.

“Sayangnya dia gagal kekalkan momentum selepas menang set kedua. Secara keseluruhan, dia telah mencapai satu penanda aras baharu. Selepas ini, kami akan terus beri tumpuan kepada aspek konsistensi,” kata jurulatih skuasy kebangsaan, Ajaz Azmat.

Ini adalah kekalahan keenam Sivasangari dalam tujuh pertemuan menentang Weaver, namun kali ini disusuli jangkaan tinggi selepas dia menewaskan lawan tersebut ketika separuh akhir Piala Cincinnati pada Februari lalu.

“Perlawanan ini sangat penting. Ini adalah peluang pertama buat Sivasangari ke separuh akhir, jadi saya tahu kami berdua akan beri segalanya. Saya gembira kerana berjaya laksanakan perancangan permainan dengan baik,” kata Weaver.

Sivasangari dijangka meneruskan kempen seterusnya di Terbuka Britain dari 31 Mei hingga 8 Jun depan dengan sasaran membina semula momentum cemerlang yang dipupuk bersama bekas juara dunia, Gregory Gaultier di Prague.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI