KUALA SELANGOR – Taktik licik sindiket pelombongan bitcoin menukar nombor empat unit kedai bagi menjalankan aktiviti haram mereka terbongkar apabila diserbu pihak berkuasa di sekitar Bandar Puncak Alam di sini, semalam.
Dalam serbuan selama empat jam bermula pukul 10 pagi di Taman Industri Alam Jaya dan Pusat Perdagangan Alam Jaya berjaya merampas 62 mesin bitcoin dan 18 kipas mesin yang dianggarkan mencecah RM300,000.
Ketika serbuan, penguat kuasa Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Selangor terpaksa memecahkan pintu premis dua tingkat yang berkunci.
Pengarah Bahagian Penguatkuasaan MPKS, Mohamad Lutfi Mislan berkata, serbuan itu dilakukan bagi membanteras aktiviti perniagaan tanpa lesen dan penyalahgunaan tenaga elektrik.
Jelasnya, pemeriksaan mendapati semua premis itu tidak mempunyai lesen perniagaan yang sah dan menggunakan elektrik secara haram.
“MPKS mengeluarkan empat notis penutupan premis di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian MDKS 2007,” ujarnya- KOSMO! ONLINE