fbpx

Pengasas Big Blue Taxi bebas tipu tuduhan kontrak kawalan keselamatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shamsubahrin (kiri) bersama peguamnya selepas dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi hari ini.

KUALA LUMPUR – Pengasas perkhidmatan teksi premium, Big Blue Taxi, Shamsubahrin Ismail dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan menipu seorang ahli perniagaan berhubung kontrak kawalan keselamatan di Menara Berkembar Petronas (KLCC) enam tahun lalu.

Hakim K. Muniandy memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan Shamsubahrin selaku perayu bagi mengetepikan hukuman dan sabitan penjara tiga tahun yang dikenakan terhadapnya oleh Mahkamah Sesyen sebelum ini.

Dalam penghakimannya ketika melepas dan membebaskan Shamsubahrin, 59, Muniandy berkata, Mahkamah Sesyen membuat dapatan bahawa kontrak tersebut tidak wujud, sedangkan ia tidak sejajar dengan keterangan saksi-saksi bahawa perjanjian itu wujud, namun dibatalkan oleh pihak lain.

Tindakan itu, katanya, menyebabkan mangsa selaku pengadu tidak memperoleh kontrak terbabit yang mana pembatalan kontrak merupakan perkara di luar kawalan Shamsubahrin selaku perayu.

“Hakim Mahkamah Sesyen tidak mengambil kira faktor-faktor itu sebelum membuat keputusan bahawa perayu telah menipu pengadu. Syarikat pengadu tidak mengambil langkah sewajarnya untuk memenuhi kehendak prosedur pendaftaran dan gagal mengemukakan dokumen lengkap yang diperlukan. Selain itu, bayaran RM300,000 itu merupakan komisen kepada perayu sekiranya projek berkenaan diperoleh,” katanya.

Beliau berkata, unsur ‘mens rea’ iaitu keadaan yang menunjukkan perayu berfikir untuk melakukan kesalahan, tidak dinyatakan dalam pertuduhan.

Katanya, hakim mahkamah rendah juga terkhilaf kerana tidak membuat penemuan fakta bahawa unsur ‘mens rea’ itu telah dibuktikan.

Menurutnya, berdasarkan keterangan, kekhilafan Hakim Mahkamah Sesyen semasa membuat penemuan, pemakaian prinsip undang-undang dan kecacatan pertuduhan yang tidak menyatakan ‘mens rea’ kesalahan menipu, maka mahkamah ini menggunakan bidang kuasa rayuannya untuk mencelah dan membetulkan ketidakadilan yang berlaku.

“Dapatan bersalah dan sabitan terhadap perayu adalah tidak berpaksikan kepada keterangan yang ada dalam kes serta undang-undang yang terpakai. Oleh itu, rayuannya dibenarkan, sabitan diketepikan dan perayu dilepaskan serta dibebaskan daripada pertuduhan berkenaan,” katanya.

Semasa prosiding, pendakwaan dikendalikan peguam Zulkifli Awang mewakili perayu, manakala pendakwaan di wakili Timbalan Pendakwa Raya Izalina Abdullah.

Seramai lima saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan kes yang bermula pada 2 November 2022.

Mengikut pertuduhan, Shamsubahrin didakwa telah menipu seorang ahli perniagaan berusia 37 tahun dengan memperdayakan mangsa untuk mempercayai bahawa tertuduh boleh mendapatkan kontrak kawalan keselamatan dalam tempoh 30 hari.

Perbuatan itu telah mendorong mangsa untuk memindahkan wang sebanyak RM300,000 ke dalan akaun bank milik sebuah tetuan di mana mangsa tidak akan menyerahkan sekiranya tidak diperdayakan.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah tempat di KLCC di sini pada Oktober 2019 mengikut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga 20 tahun dengan sebatan dan boleh didenda, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI