SEPANG – Dua lelaki warga asing ditahan selepas dikesan melakukan aksi berbahaya dengan memanjat bumbung kereta yang sedang bergerak di Lebuh Raya Damansara – Puchong, semalam.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, pihaknya menerima satu video tular di media sosial pagi semalam memaparkan dua individu melakukan aksi berbahaya di atas jalan raya.
Beliau berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang telah mengambil tindakan segera mengesan dan menahan individu terlibat.
Katanya, video tersebut memaparkan aksi dua orang lelaki melakukan perbuatan berbahaya dengan memanjat bumbung kenderaan yang sedang bergerak di atas jalan raya.
“Hasil siasatan awal mendapati kedua-dua individu yang terlibat adalah penumpang kenderaan tersebut, manakala pemandu disahkan tidak terlibat dalam aksi berbahaya berkenaan.
“Siasatan mendapati individu pertama yang duduk di tempat duduk penumpang hadapan bertindak keluar melalui tingkap pemandu dan memanjat ke atas bumbung kenderaan semasa ia sedang bergerak dan masuk semula ke dalam kenderaan melalui tingkap penumpang hadapan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, video sama turut memaparkan individu kedua yang duduk di tempat duduk penumpang belakang bertukar tempat dengan individu pertama lalu melakukan aksi yang sama.
Norhizam berkata, ketika kejadian, kedua-dua suspek dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk menghantar pemandu kenderaan pada ketika itu yang mahu pulang ke Tajikistan. – KOSMO! ONLINE