MADRID – Jaringan minit ke-95 oleh bintang muda, Jacobo Ramon memastikan Real Madrid meraih kemenangan 2-1 ke atas Real Mallorca dalam aksi La Liga awal pagi tadi sekali gus melengahkan sambutan kejuaraan Barcelona.
Ketika kedudukan terikat 1-1, Barcelona hampir dimahkotakan sebagai juara kerana memiliki kelebihan dari segi rekod pertemuan, namun segalanya musnah apabila Ramon yang membuat penampilan sulung di Santiago Bernabeu meledak gol kemenangan Real.
“Ia begitu sukar untuk digambarkan. Sudah lama saya mengimpikan detik ini sejak kecil, tiada cara lebih indah untuk menjaringkan gol pertama anda,” kata Ramon.
Mallorca membuka tirai jaringan seawal minit kelapan menerusi Martin Valjent sebelum Kylian Mbappe menyamakan kedudukan pada babak kedua, sekali gus mencatat gol peribadi ke-40 dalam semua kejohanan musim ini.
Dengan kemenangan itu, Real kini mengumpul 78 mata iaitu empat mata di belakang Barcelona yang boleh menamatkan perebutan kejuaraan jika menewaskan Espanyol. – AGENSI