KUALA LUMPUR – Sebuah rumah dan kedai dilaporkan musnah dijilat api dalam kebakaran di Jalan Raja Musa, Kampung Baru, di sini, pagi tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.15 pagi.
Katanya, seramai 23 anggota serta jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Tun Razak telah dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, kebakaran didapati memusnahkan 100 peratus bangunan kedai dan sebuah motosikal manakala sebuah rumah terbakar 80 peratus.
“Kebakaran dapat dikawal pada pukul 7.41 pagi dan berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 8.38 pagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, tiada mangsa yang terlibat dan punca kebakaran dalam siasatan. -KOSMO! ONLINE