BATU PAHAT – Seorang lelaki maut selepas sebuah lori menyondol kereta dipandunya yang berhenti di lorong kanan setelah mengalami kerosakan enjin di kilometer 104.1 Lebuhraya Utara Selatan (arah selatan) berhampiran Yong Peng di sini pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kejadian dilaporkan kira-kira pukul 8.45 pagi ketika kereta Perodua Viva dipandu Ahmad Zuhairi Zainuddin, 41, dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur ke Johor Bahru.
Katanya, sebuah lori tiga tan yang penuh dengan muatan barang-barang hardware dipandu oleh seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun bersama kelindannya turut datang dari arah perjalanan sama.
“Apabila tiba di lokasi kemalangan, kereta Perodua Viva itu dikatakan berhenti di lorong kanan akibat daripada mengalami kerosakan enjin.
“Pemandu lori itu gagal memberhentikan kenderaan dipandunya sebelum melanggar dari belakang kereta Perodua Viva berkenaan,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Menurut Shahrulanuar, akibat daripada pelanggaran itu, pemandu kereta berkenaan mengalami kecederaan parah di kepala dan dada sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ujarnya, pemandu lori dan kelindannya hanya mengalami kecederaan di bahagian tangan serta kaki dan dirujuk ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di Muar.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, orang ramai yang menyaksikan kejadian diharap dapat tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan,” katanya.-KOSMO! ONLINE