HULU TERENGGANU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya mematahkan kegiatan menjual gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi tanpa permit dengan serbuan di Ajil di sini semalam.
Serbuan di tanah lapang yang menjadi kawasan simpanan LPG terbabit pada pukul 12.30 tengah hari itu berjaya merampas 477 tong gas memasak.
Pengarah KPDN Terengganu, Mohd. Mufsi Lat berkata, serbuan sama merampas dua buah lori.
Beliau berkata, seorang lelaki berusia 40-an yang disyaki terlibat dalam pemilikan tong gas LPG terbabit turut ditahan bagi membantu siasatan.
“Pemeriksaan mendapati suspek gagal mengemukakan surat kebenaran daripada Pengawal Bekalan untuk berurusan dengan gas LPG berkenaan yang merupakan barang kawalan.
“Serbuan berjaya merampas 477 tong yang mengandungi 6,592 kilogram gas LPG bernilai keseluruhan RM65,676.20,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Mufsi berkata, risikan selama dua minggu mendapati barangan kawalan itu diperolehi daripada pembekal dalam dan luar Terengganu sebelum dijual di sekitar Ajil serta Kuala Berang di sini.
Beliau berkata, antara pelanggan tong gas LPG terbabit ialah pengusaha kedai makan, dobi dan hotel di kawasan terbabit. – KOSMO! ONLINE