PETALING JAYA – Seorang juruwang lelaki hampir menjadi mangsa pukau oleh dua lelaki warga asing ketika sedang bekerja di sebuah kedai aiskrim di Masjid Putra, Putrajaya.
Menerusi hantaran video di TikTok milik @Zans_leer, dia berkongsi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang merakam detik cemas tersebut, sekali gus menyifatkan ia sebagai pengalaman keduanya berdepan cubaan pukau.
“Warga asing ni datang beli aiskrim RM2. Dia kata pertama kali datang Malaysia dan pura-pura tak tahu nilai duit. Dia buka dompet, suruh saya ambil sendiri sambil tanya nilai duit merah, biru dan hijau. Dalam dompet dia tak ada not RM50 dan RM100. Jadi, dia nak tengok RM50 dengan RM100 tu warna apa.
“Saya pun tunjuk sebab fikir mungkin dia betul-betul nak tahu. Tapi tiba-tiba, dia masuk ke ruang kaunter, lepas tu bau minyak wangi dia kuat sangat sampai pening. Masa tu saya terus rasa tak sedap hati sebab baunya sama macam cubaan pukau yang pernah saya alami dulu,” ujarnya.
Katanya, suspek turut cuba memasukkan tangannya ke dalam laci tunai ketika meminta melihat kesemua wang kertas RM50 yang ada.
“Saya tepis tangan dia dan mula marah. Bila saya tunjuk CCTV (televisyen litar tertutup), dia terus gelabah dan keluar,” katanya.
Dalam hantaran sama, dia turut mengingatkan pekerja khususnya yang bertugas di kaunter pembayaran agar berwaspada jika didatangi pelanggan warga asing.
“Kalau ada warga asing minta tengok duit apa-apa pun, jangan layan. Bahaya bila mereka datang dekat dengan bau minyak wangi kuat. Itu antara taktik nak pukau,” katanya.
Tinjauan di ruangan komen mendapati ramai netizen berkongsi pengalaman hampir sama dan mengecam tindakan warga asing terbabit.
“Geramnya, sampai masuk kaunter, tangan pun dah seluk dalam laci duit. Jahat geng ni,” kata @Ilayusoff.
“Melampau sampai masuk tempat ‘cashier’,” komen @Dextrose.
“Saya pernah kena pukau macam ni dulu… Sempat bagi RM200. Cara yang sama, konon nak tahu pasal duit,” kata seorang pengguna lain. – KOSMO! ONLINE