fbpx

‘Anak saya terjatuh, saya tak mengaku salah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NUR KHAIRUNNISA dan Muhamad Nor diiringi anggota polis selepas dihadapkan di Mahkamah Sesyen Alor Gajah, Melaka, hari ini.-Foto oleh ARIF HAMIZAN MISKON / KOSMO!

ALOR GAJAH – Ibu bapa kepada bayi lelaki berusia dua bulan yang sebelum ini dilaporkan kritikal dipercayai akibat didera dituduh di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Tertuduh, Nur Khairunnisa Jusni dan suaminya, Muhamad Nor Azim Abdullah masing-masing berusia 22 tahun didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Pasangan itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Aiza Khairuddin.

Nur Khairunnisa memaklumkan bayinya terjatuh selepas ditanya sebanyak dua kali oleh pihak mahkamah sama ada dia memahami pertuduhan yang dibacakan berikutan tertuduh hanya mendiamkan diri.

Mengikut pertuduhan, mereka sebagai ibu bapa mangsa telah mendedahkan bayi tersebut dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan di kepala dan badan.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Seri Pelangi di sini pada 2 hingga 5 Mei lalu.

Sabit kesalahan, pasangan tersebut boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ali Hussain tidak mencadangkan sebarang jaminan terhadap tertuduh dengan mengambil kira kesalahan yang dilakukan adalah serius membabitkan anak kandung yang baru berusia dua bulan.

Peguam Mohammed Hissham Ramdzan bagaimanapun memohon agar pasangan itu diberikan jaminan rendah dengan alasan anak guamnya tidak mempunyai rekod lampau.

Tambahnya, Nur Khairunnisa baru selesai berpantang dan tidak bekerja, manakala suaminya bekerja sebagai operator kilang dengan pendapatan RM1,800 sebulan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 setiap seorang berserta syarat tambahan iaitu pasport diserahkan kepada mahkamah, melapor diri di balai polis setiap bulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Tarikh 12 Jun ini ditetapkan untuk sebutan semula kes.

Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang bayi lelaki berusia dua bulan mengalami pendarahan dalam kepala, luka dan lebam disyaki didera ibu bapa kandungnya di Taman Seri Pelangi, Sungai Petai di sini pada 5 Mei lalu.

Kejadian terbongkar selepas mangsa dibawa ke Hospital Alor Gajah dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh ibunya yang berusia 22 tahun.

Wanita itu turut mendakwa bayinya diserang sawan sebelum meninggalkan mangsa di hospital sejak pukul 1 pagi tanpa sebarang pemantauan.

Mangsa kemudian dirujuk ke Hospital Melaka dan pemeriksaan lanjut mendapati bayi berkenaan mengalami pendarahan lama dan baharu dalam kepala, selain lebam dan luka di badan dan leher. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI