LENGGONG – Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengucapkan takziah kepada keluarga anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) yang terkorban dalam kemalangan dengan lori muatan batu di Jalan Sungai Lampam, Teluk Intan pagi tadi.
Timbalan Menteri KDN, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, pihak polis akan menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca kejadian yang mengorbankan sekurang-kurangnya lapan anggota FRU setakat ini.
Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil langkah sewajarnya termasuk kebajikan keluarga anggota yang terkorban.
“Siasatan akan dibuat oleh polis mengikut prosedur operasi standard (SOP). Saya zahirkan ucapan takziah keluarga mangsa.
“Saya yakin keupayaan pihak polis untuk menyiasat dan ambil langkah-langkah sewajarnya. KDN ambil berat hal ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Pondok Polis Kampung Beng di sini hari ini.- KOSMO! ONLINE