YAN – Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Mohd. Suhaimi Abdullah cedera ringan selepas kereta yang dinaiki bersama isteri terlibat kemalangan di Jalan Sungai Dedap-Yan, di sini pada pagi tadi.
Kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu dikatakan berlaku ketika mereka dalam perjalanan untuk menziarahi jenazah kenalannya yang meninggal dunia di pekan Sungai Limau, di sini.
Difahamkan, kereta dipandu Suhaimi terbabas ke tebing tali air selepas cuba mengelak sebuah motosikal yang dikatakan membuat pusingan U.
Mangsa yang juga Pengerusi Bersatu Kedah itu hanya mengalami kecederaan kecil di bibir, manakala isterinya tidak mengalami sebarang kecederaan.
Orang ramai yang melalui laluan itu kemudiannya dilihat memberikan bantuan awal kepada Ahli Parlimen berkenaan termasuk menarik kereta dari tebing tali air berkenaan. – KOSMO! ONLINE