ORANG tua kita penuh dengan kata-kata hikmah dan ternyata kata-kata itu sangat mendalam dan begitu bermakna untuk dihayati, jadikan panduan dan pedoman hidup.
Apa yang ingin diperkatakan ialah pergolakan yang berlaku antara dua kuasa nuklear dunia iaitu India dan Pakistan di wilayah Kashmir baru-baru ini.
Konflik tersebut dibimbangi berlarutan dan bertukar menjadi medan perang yang akhirnya mengorbankan lebih banyak nyawa tidak berdosa selain memusnahkan harta-benda, apa lagi keindahan Kashmir itu sendiri yang terkenal sebagai destinasi popular pelancongan dunia.
Persengketaan antara dua negara itu telah lama berlarutan, sejak tahun 1947 lagi. Hampir 78 tahun usia persengketaan sehinggalah berlaku serangan militan yang membunuh 26 pelancong pada 23 April lalu.
Sehingga hari ini, kita telah melihat betapa peperangan demi peperangan yang jelas terbukti lebih membawa bencana berbanding kebaikan. Dari Perang Dunia Pertama (1914-1918) yang mengorbankan antara 15 hingga 22 juta orang, Perang Dunia Kedua (1939-1945) dengan kematian 70 hingga 85 juta orang dan Perang Vietnam (1955-1975) dengan kematian 1.1 hingga 4.2 juta orang.
Banyak lagi peperangan yang tidak mampu disenaraikan di ruang yang terhad ini seperti Perang Korea, Perang Iran-Iraq, Perang Soviet-Afghanistan, Perang Teluk selain konflik setempat melibatkan perang saudara dan pemberontakan yang banyak masih tidak berkesudahan hingga hari ini.
Apa yang menguntungkan daripada perang berkenaan? Apakah yang menang boleh bersorak gembira? Ya mungkin, boleh. Namun mereka tidak akan dapat tidur nyenyak juga akhirnya. Hal ini kerana yang menang bimbang jika pihak yang kalah akan bangkit bertindak membalas dendam.
Lihatlah apa yang berlaku di selatan Thailand, pergolakan yang seakan tidak berkesudahan. Pergolakan di Syria, Sudan dan beberapa negara Afrika lagi juga meragut ribuan nyawa serta mencetuskan suasana tidak selamat sekali gus penyebab masalah kebuluran dan krisis pendidikan.
Malah akibat perang bukan sahaja nyawa menjadi tidak bernilai, tetapi boleh mencetus kemusnahan infrastruktur dalam sekelip mata sedangkan untuk membina mengambil masa bertahun-tahun lamanya.
Lebih memburukkan keadaan, perang menyebabkan perdagangan terganggu, sumber asli musnah sekali gus melumpuhkan ekonomi setempat, serantau dan global. Lihatlah akibat perang Russia-Ukraine yang merencat banyak perkembangan ekonomi negara lain.
Selain itu, berlaku krisis pelarian di kawasan perang yang turut mengakibatkan kesukaran dan dilema bagi negara-negara jiran untuk membantu.
Hari ini, ada beberapa negara yang suasana masih tegang dan jika gagal ditangani dengan baik juga boleh mencetuskan perang iaitu antara Taiwan dan China, Korea Utara dan Korea Selatan serta Israel dengan beberapa negara jiran khususnya Iran.
Semoga perang dan konflik yang ada segera reda. Kita menghirup udara yang sama dan menjunjung langit yang sama. Peperangan tidak membawa keuntungan melainkan kepada pengeluar senjata.














