KUALA KRAI – Seorang penoreh getah bimbang tidak mampu untuk menyediakan perbelanjaan yang cukup kepada anaknya yang memperoleh keputusan 8A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 jika remaja itu berpeluang melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Che Yusairi Che Hassan, 47, berkata, pada awalnya dia gembira dan bersyukur dengan keputusan cemerlang anak sulungnya, Mohd. Iqmal Aqiff, 18, namun buntu apabila memikirkan soal kewangan untuk membantu pembelajaran anaknya itu.
Menurutnya, dia yang bekerja dengan pendapatan RM800 sebulan turut perlu menyediakan kelengkapan kepada lima lagi anak berusia enam hingga 14 tahun yang masih bersekolah.
“Buat masa ini, saya tiada simpanan kerana pendapatan bergantung kepada hasil menoreh getah secara pawah.
“Jadi, saya bimbang dan takut tidak boleh menyediakan wang untuk perbelanjaan Mohd. Iqmal Aqiff untuk melanjutkan pelajaran.
“Jika dia layak meneruskan pengajian terutama di IPTA, saya akan cuba ikhtiar selain memohon bantuan daripada pihak yang boleh membantu meringankan bebanan keluarga saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit, Batu Balai di sini baru-baru ini.
Katanya, dia mendapat maklumat bahawa perbelanjaan untuk pendaftaran masuk ke IPTA mencecah ribuan ringgit dan dia tidak mampu untuk menyediakan wang sebanyak itu.
Sementara itu, Mohd. Iqmal Aqiff berkata, dia bercita-cita untuk menjadi seorang guru akan memohon untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) atau Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Menurutnya, dia bagaimanapun tetap reda sekiranya tidak mampu untuk merealisasikan impian itu sekiranya berdepan kekangan kewangan.
“Berdasarkan situasi semasa, saya sangat berharap ada pihak yang dapat membantu saya melanjutkan pelajaran jika diberikan peluang.
“Buat masa ini, saya akan menjual burger di depan rumah sebagai persediaan awal untuk mengumpul wang untuk meneruskan pengajian ke menara gading,” ujarnya.
Mohd. Iqmal Aqiff yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Kuala Krai di sini memberitahu, dia tidak menyangka memperoleh keputusan 8A semasa SPM kerana dia hanya mendapat 4A pada peperiksaan percubaan.
Mohd. Iqmal Aqiff (tengah) bersama ibu bapanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit, Batu Balai, Kuala Krai baru-baru ini.














