LUMUT – Wanita warga emas yang menjadi mangsa rempuhan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Volvo di restoran KFC Sitiawan dekat sini malam tadi telah meninggal dunia semalam.
Kenalan keluarga mangsa dikenali sebagai Mei berkata, wanita berusia 70-an itu meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Seri Manjung (HSM) kira-kira pukul 11 malam.
“Dia dibawa ke HSM sejurus kemalangan itu berlaku kira-kira pukul 9 malam, namun meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Kosmo! semalam melaporkan sebuah MPV Volvo merempuh restoran KFC di Sitiawan dengan kemalangan itu menyebabkan seorang wanita warga emas tersepit di bawah kenderaan tersebut.
Mangsa yang dikeluarkan dari bawah MPV berkenaan dibawa keluar oleh orang ramai sebelum dikejarkan ke HSM untuk menerima rawatan.
Angkatan Pertahanan Awam (APM) dalam kenyataannya semalam pula melaporkan turut cedera akibat rempuhan itu adalah empat mangsa dewasa iaitu tiga lelaki dan seorang wanita serta seorang kanak-kanak perempuan. – KOSMO! ONLINE