PETALING JAYA – Seorang pemberi maklumat berhubung skandal rasuah besar di Sabah tampil membuat laporan polis hari ini selepas mendakwa menerima ugutan bunuh dan bimbang menjadi mangsa kehilangan seperti Datin Seri Pamela Ling Yueah.
Lelaki berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai ‘Mr. A’ membuat laporan polis kerana bimbang keselamatannya terancam selepas mendedahkan maklumat penting kepada pihak berkuasa, namun masih belum menerima sebarang bentuk perlindungan.
Peguamnya, Latheefa Koya berkata, anak guamnya berasa amat terancam dan mendakwa pernah menerima gambar bekas Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe yang mati dibunuh sebagai bentuk amaran, selain diugut secara langsung pada November tahun lalu.
“Dia (anak guam) telah memberi segala keterangan dan bukti yang diperlukan, namun pihak berkuasa masih membisu.
“Sekarang, dia rasa hidupnya dalam bahaya. Apa yang berlaku kepada Datin Pamela membuktikan ancaman ini nyata,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar hari ini.
Menurut Latheefa lagi, permohonan perlindungan ini bukan sekadar langkah berjaga-jaga, sebaliknya satu amaran awal kepada pihak berkuasa supaya bertindak sebelum sesuatu yang lebih buruk berlaku.
“Dia pernah nyatakan jika dia hilang, itu bermaksud sesuatu telah terjadi padanya,” tegasnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya hari ini.
Pada tahun lalu, sebuah portal melaporkan mengenai beberapa rakaman video dakwaan skandal rasuah membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah berkaitan isu pelesenan perlombongan mineral.
Melalui video itu, pihak berkenaan didakwa menerima ratusan ribu ringgit bagi menyokong permohonan syarikat untuk projek di sebuah negeri.
Turut dilaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) mengesahkan bahawa seorang pemberi maklumat berhubung kes itu telah berjumpa dengan pegawai suruhanjaya itu pada 30 Oktober tahun lalu.
SPRM memaklumkan telah membuka kertas siasatan berhubung perkara itu dan menjalankan siasatan secara menyeluruh termasuk analisis forensik digital terhadap bahan bukti berkenaan.
Turut dilaporkan pemberi maklumat itu telah menyerahkan bukti baharu setebal hampir 300 muka surat kepada SPRM. – KOSMO! ONLINE