KUALA LUMPUR – Polis tidak menolak kemungkinan bahawa kes penculikan Datin Seri Pamela Ling Yueh mungkin dirancang mangsa sendiri.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, elemen itu antara yang disiasat pihaknya ketika ini.
Menurutnya, berdasarkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV), kejadian tersebut dilihat berlaku dengan lancar tanpa sebarang pergelutan dengan mangsa memberi kerjasama kepada suspek.
“Ini memang proses siasatan kami, kita akan buat siasatan secara menyeluruh dari setiap sudut.
“Jadi kemungkinan itu (dirancang sendiri) antara disiasat pihak polis,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Kontinjen Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Rusdi berkata, pemeriksaan mendapati tiada sebarang operasi dijalankan di Kuala Lumpur ketika insiden penculikan itu berlaku.
Pamela, 42, dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan dengan menggunakan perkhidmatan e-hailing bagi memberikan keterangan di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya pada 9 April lalu.
Kenderaan e-hailing itu dipercayai dipintas tiga kenderaan berhampiran ibu pejabat SPRM dan Pamela diarah masuk ke dalam kenderaan lain.
Pemandu e-hailing dikenali Kok, 55, dilaporkan berkata, pada hari kejadian dia mengambil Pamela dari Bangunan Velocity 2, Cheras ke SPRM Putrajaya.
Katanya, ketika dalam perjalanan dia tidak berbual bersama Pamela, namun mendengar wanita itu menelefon seseorang dengan bersuara perlahan.
Pamela juga didakwa sempat memberikan wang tunai berjumlah RM100 kepada pemandu tersebut sebelum dipaksa mengikuti individu yang menyamar sebagai anggota polis. – KOSMO! ONLINE