MOSCOW – Gencatan senjata tiga hari antara Russia dan Ukraine seperti arahan Presiden Vladimir Putin berkuat kuasa hari ini, langkah yang menurut Kremlin akan ‘menguji’ kesediaan Kyiv kepada keamanan tetapi dikecam Ukraine sebagai sandiwara.
Tidak jelas sama ada kedua-dua pihak mematuhi gencatan senjata tersebut walaupun pemimpin dunia termasuk Presiden China, Xi Jinping, Presiden Luiz Inacio Lula da Silva dari Brazil dan rakan sejawat mereka dari Serbia, Aleksandar Vucic kini berada di Moscow untuk menghadiri hari memorial Perang Dunia Kedua.
Putin secara unilateral mengarahkan gencatan senjata itu bertepatan dengan sambutan yang dikenali sebagai Hari Kemenangan di Moscow hari ini.
Ukraine menyatakan, pihaknya tidak pernah bersetuju dengan gencatan senjata itu dan menolaknya sebagai lakonan Putin. Kyiv sebaliknya menyeru gencatan senjata selama 30 hari.
Presiden Amerika Syarikat(AS), Donald Trump sebelum ini berusaha untuk menamatkan serangan tentera Moscow selama tiga tahun ke atas Ukraine tetapi gagal meredakan permusuhan antara kedua-dua belah pihak.
Beberapa jam menjelang gencatan senjata Putin berkuat kuasa, Moscow dan Kyiv saling melancarkan serangan udara, menyebabkan beberapa lapangan terbang di Russia ditutup dan sekurang-kurangnya dua orang terbunuh di Ukraine.
Kremlin memberitahu, tentera Russia akan menghormati perintah Putin sepanjang cuti tiga hari tersebut tetapi akan bertindak balas ‘segera’ sekiranya Ukraine melancarkan serangan. – AFP