fbpx

219 tong LPG disita KPDN Perak di tiga premis berasingan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penguat kuasa KPDN Perak (kiri) memeriksa tong LPG yang ditemui di sebuah premis di Taiping kelmarin. - Foto IHSAN KPDN

IPOH – Sebanyak 219 tong gas petroleum cecair (LPG) berjaya disita Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menerusi tiga serbuan berasingan di Ipoh, Taiping dan Teluk Intan kelmarin.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan pertama ke atas ladang ayam yang dijalankan oleh pegawai penguat kuasa KPDN Perak di Teluk Intan mendapati premis tersebut disyaki menyimpan LPG tanpa lesen atau permit.

“LPG tersebut digunakan untuk memanaskan anak-anak ayam di ladang tersebut.

“Seorang lelaki warga tempatan berumur 66 tahun yang mengaku sebagai pengurus didapati gagal mengemukakan sebarang surat kebenaran, lesen atau permit menyimpan barang kawalan daripada Pengawal apabila diminta oleh pasukan pemeriksaan,” katanya di sini hari ini.

Seterusnya, beliau berkata, dua serbuan berasingan yang dijalankan di Ipoh dan Taiping telah menemukan dua buah lori bermuatan LPG yang masing-masing dikesan berada di hadapan premis perniagaan dan premis kediaman.

Kamalludin berkata, dalam serbuan di Ipoh, pasukan penguat kuasa KPDN telah menahan pemilik lori iaitu seorang lelaki warga tempatan berusia 48 tahun.

“Manakala dalam serbuan di Taiping, pemilik premis kediaman iaitu seorang lelaki warga tempatan berusia 62 tahun turut ditahan,” katanya.

Beliau berkata, kedua-duanya gagal mengemukakan sebarang surat kebenaran, lesen atau permit menyimpan barang kawalan daripada Pengawal apabila diminta oleh pasukan pemeriksaan.

“Sehubungan itu, tiga tindakan kes telah diambil dengan menyita sebanyak 219 unit tong LPG berkapasiti 10 kilogram (kg), 12kg dan 14kg serta dua buah lori dengan nilai sitaan keseluruhan yang dianggarkan RM46,995.30.

“Kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI