ARAU – Sebanyak 98 peratus kes jenayah seksual yang direkodkan di negeri ini didapati dilakukan secara suka sama suka antara pelaku dan mangsa yang kebanyakannya masih di bawah umur.
Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, trend itu amat membimbangkan memandangkan kebanyakan mangsa adalah remaja perempuan berusia antara 12 hingga 16 tahun.
“Paling menyedihkan apabila ada murid perempuan yang bukan sahaja menjadi mangsa jenayah seksual, malah hamil dan melahirkan anak dalam usia terlalu muda.
“Antara punca utama berlakunya jenayah seksual ini ialah penyalahgunaan media sosial seperti WhatsApp, TikTok, Twitter, Telegram dan Facebook,” katanya ketika merasmikan Program Crime Awareness Day peringkat negeri Perlis di Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Hussein di sini semalam.
Katanya, golongan remaja menggunakan platform itu untuk mencari pasangan dan menjalin hubungan cinta yang akhirnya membawa kepada hubungan seksual dan jenayah lain.
“Kes-kes seperti rogol, cabul, liwat, sumbang mahram, pornografi kanak-kanak serta jenayah seksual siber di negeri ini semakin meningkat.
“Statistik menunjukkan peningkatan 31 peratus kes jenayah seksual di Perlis apabila sebanyak 51 kes direkodkan pada tahun 2024 berbanding 39 kes pada tahun sebelumnya,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE