KUALA LUMPUR – Segelintir pekerja kontraktor warga asing sanggup bertindak berani dengan terjun bangunan serta memasuki kawasan paya berlumpur bagi mengelak dicekup pihak berkuasa dalam serbuan di tapak pembinaan kondominium di Jalan Kuching, di sini hari ini.
Bagaimanapun, tinjauan Kosmo! di lokasi mendapati, cubaan melarikan diri membabitkan beberapa pendatang asing tanpa izin (PATI) itu berjaya dipatahkan pegawai Jabatan Imigresen (JIM).
Pengarah JIM Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, seramai 200 pekerja warga asing diperiksa dalam Ops Gempur Bersasar yang dijalankan bermula pukul 10.30 pagi.
“Hasil pemeriksaan, seramai 60 warga asing serta seorang majikan tempatan ditahan membabitkan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959.
“Semua PATI yang ditahan itu berasal dari Indonesia, Bangladesh, Myanmar dan India,” katanya pada sidang akhbar di lokasi serbuan, hari ini.
Wan Mohammed Saupee berkata, ketika operasi, pihaknya mengesan beberapa PATI cuba melarikan diri dengan terjun bangunan serta menyorok di sekitar tapak pembinaan bagi mengelak ditahan.
“Namun, tiada sebarang laporan melibatkan kecederaan pegawai JIM dan PATI,” ujarnya.
Menurutnya, operasi yang disertai seramai 60 pegawai JIM Kuala Lumpur itu dijalankan susulan risikan selama seminggu.
“Semua warga asing berusia 25 hingga 50 tahun yang ditahan akan dibawa ke pejabat JIM Kuala Lumpur untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(c) akta sama dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE