GEORGE TOWN – Mangsa keganasan rumah tangga boleh menceritakan kejadian itu kepada pihak berkuasa bagi tujuan mendapatkan keadilan atau perlindungan undang-undang.
Bagaimanapun, sekiranya berniat ‘menjaja’ cerita kepada umum sekadar mahu membalas dendam, ia dianggap berdosa.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr. Mohd. Sukki Othman berkata, tiada keperluan untuk seseorang itu mendedahkan secara umum di media sosial kerana hanya akan menambahkan lagi kemelut yang berlaku dan mengundang fitnah.
“Apatah lagi jika tujuan menceritakan hanyalah untuk memburukkan, membalas dendam atau menimbulkan kebencian tanpa keperluan, maka ia boleh menjadi ghibah dan berdosa.
“Hal tersebut dibenarkan jika perkara yang berlaku didedahkan kepada pihak yang berautoriti tanpa sebarang niat membuka aib, tetapi untuk mendedahkan kezaliman yang dihadapi demi kesedaran dan mendapat pengadilan,” katanya.
Beliau diminta mengulas mengenai trend pasangan Islam terutama bekas suami isteri menghebahkan kisah rumah tangga yang pernah dilalui mereka kepada pengguna media sosial.
Menurutnya, isu mengungkit kisah lama bekas suami atau isteri sememangnya sering berlaku terutama apabila melibatkan emosi, trauma atau ketidakadilan yang pernah dialami.
“Dari sudut pandangan Islam, kita boleh meneliti isu ini dari beberapa sudut prinsip asasnya antaranya menutup aib dan menjaga maruah. Islam sangat menekankan prinsip menutup aib orang lain, walaupun terhadap bekas pasangan,” katanya.
Menurutnya, namun ia tidak bermaksud seseorang yang pernah dianiaya perlu berdiam diri sepenuhnya dan menanggung penderitaan seorang diri.
“Jika perkara yang diungkit adalah fakta benar dan ada keperluan syarie untuk menceritakannya, maka ia boleh.
“Sekiranya mengungkit perkara lama kerana ingin menuntut hak yang belum dilunaskan (seperti nafkah tertunggak, hutang semasa perkahwinan), maka ia dibenarkan secara syarie.
“Ambillah hakmu secara makruf (baik) dan janganlah kamu mengambil yang bukan hakmu,” katanya.














