QASEH RANIA sedang mempersiapkan diri sebelum berkelana ke Jerman bersama kelab Wolfsburg pada tahun ini.

Qaseh Rania bakat muda bola sepak wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MENGELECEK bola di celah-celah kaki lawan dengan dikerumuni pemain lelaki merupakan perkara biasa bagi Qaseh Rania Khairul Najib.

Minat gadis berusia 15 tahun itu terhadap bola sepak mula berputik apabila abangnya sering mengajaknya ke padang.

Ini telah mendorong Qaseh Rania untuk menyertai aktiviti futsal secara suka-suka. Bakat anak jati Selangor itu dalam mengendalikan bola sangat terserlah ketika bermain futsal sehingga mendorong bapanya memperkenalkan permainan bola sepak padang.

Ternyata keputusan tersebut tepat. Satu rakaman video yang memaparkan Qaseh Rania melakukan sepakan percuma melengkung ke penjuru atas gawang telah tular di media sosial.

Rakaman aksi yang dirakam semasa perlawanan di Kuala Lumpur pada 8 Oktober 2022 itu bukan sahaja menarik minat media tempatan, malah mendapat perhatian kelab-kelab bola sepak antarabangsa.

Video menakjubkan tersebut telah membuka peluang buat anak kedua daripada empat beradik itu untuk menjalani sesi percubaan bersama kelab bola sepak wanita terkemuka di Croatia, NK Osijek.

Menurut Qaseh Rania, biarpun dia tidak meneruskan kerjaya di Croatia, namun pengalaman di sana menjadi titik penting dalam perkembangan kariernya sehingga ke hari ini.

“Di Croatia, saya bersama pasukan wanita kelab tersebut selama hampir dua minggu dan berjaya menunjukkan prestasi yang baik. Mereka berminat untuk menandatangani saya.

“Namun, bapa saya memutuskan untuk tidak meneruskannya kerana saya masih terlalu muda (11 tahun) ketika itu. Saya tidak boleh tinggal berjauhan daripada keluarga,” katanya kepada K-Remaja.

Sekembalinya ke tanah air, gadis yang meminati bintang Portugal, Cristiano Ronaldo itu meneruskan latihan secara intensif dengan menyertai pasukan Divisyen Pertama Majlis Bandaraya Subang Jaya Football Club (MBSJ FC).

Bermain dalam pasukan lelaki membantu Qaseh Rania meningkatkan ketahanan diri untuk permainan lasak di Eropah.

Dalam pasukan tersebut, bakat Qaseh Rania menonjol sebagai pemain tengah dan dia menjadi penjaring gol termuda sepanjang sejarah Liga Wanita Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Ketika membantu pasukannya menjuarai Liga Super Wanita FAS musim 2023, Qaseh Rania dinobatkan sebagai Pemain Muda Terbaik Liga dan menerima trofi daripada Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga merupakan Presiden FAS.

Pada tahun 2023, kelab Bundesliga Jerman, VfL Wolfsburg telah membuka pejabat perwakilan di Malaysia dengan misi untuk mencungkil bakat baharu tempatan. Tidak mahu melepaskan peluang, bapa Qaseh Rania telah menghubungi pejabat berkenaan dan menjalinkan hubungan rapat dengan Ketua Wakil Asia Tenggara kelab tersebut, Ken Hew.

Hasil beberapa siri perbincangan, Qaseh Rania diberi peluang menjalani sesi percubaan selama lima minggu bersama skuad belia Wolfsburg pada Ogos tahun lalu. Dalam tempoh tersebut, dia menunjukkan prestasi memberangsangkan sehingga memikat barisan kejurulatihan kelab berkenaan.

Hasilnya, Qaseh Rania ditawarkan kontrak selama tiga tahun untuk menyertai skuad bawah 17 tahun (B-17) kelab tersebut.

Menurut Qaseh Rania, keluarganya merancang untuk berpindah ke Jerman antara Ogos hingga Oktober tahun ini bagi menyokong kerjayanya di sana.

“Sebenarnya, hasil video profil yang disiapkan oleh bapa, saya menerima tawaran daripada empat kelab luar negara iaitu Amerika Syarikat, Sepanyol, Croatia dan Jerman.

“Kami pilih Wolfsburg bukan sahaja kerana reputasinya, malah disebabkan sistem sokongan dan pembangunan bakat di Jerman yang lebih menyeluruh.

“Antara kelebihannya adalah pendidikan percuma, kos sara hidup yang seimbang dengan pendapatan, persekitaran sosial selamat serta kurang isu rasuah atau jenayah,” katanya.

Kini, Qaseh Rania juga merupakan duta German-Malaysian Institute (GMI) di Bangi dan sedang mengikuti kelas bahasa Jerman tahap A1 hingga C2 sebagai persediaan berhijrah ke sana.

Untuk pengetahuan, Qaseh Rania memulakan kariernya sebagai pemain pertahanan tengah (center back), sebelum beralih ke posisi penyerang (striker), di mana dia kerap menjaringkan gol.

Ketika berusia 14 tahun, jurulatihnya melihat potensi besar dia bermain sebagai pemain tengah (midfielder) kerana kemahirannya menjaring dan menghantar bola dengan tepat.

Dari segi fizikal, pengalaman bermain bersama pasukan lelaki seperti Clasico FC banyak membentuk ketahanan tubuhnya. Ketika itu, Qaseh Rania merupakan satu-satunya pemain perempuan dalam pasukan berkenaan.

“Walaupun saya perempuan, rakan sepasukan tidak pernah memberi layanan istimewa. Saya sudah terbiasa dengan permainan yang lasak dan kasar.

“Pengalaman tersebut banyak membantu saya ketika beraksi dengan pasukan Eropah kerana gaya permainan mereka setanding dengan pemain lelaki di Malaysia,” katanya.

Tambah Qaseh Rania, fizikalnya dibina melalui latihan konsisten sejak kecil serta amalan pemakanan ketat di bawah pemantauan bapanya yang juga merupakan bekas ahli bina badan.

Menurut gadis dengan ketinggian 174 sentimeter itu, dia minum susu sebanyak tiga kali sehari dan mengambil makanan seperti dada ayam bakar, ikan kukus serta empat biji telur setiap hari sama ada direbus atau dimasak scrambled.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Puchong Utama (1) itu juga membawa bekalan ringan ke sekolah seperti sandwic telur atau buah-buahan, selain mengelak makanan bergoreng.

Katanya, rutinnya agak padat dengan bola sepak selepas tamat sesi persekolahan.

“Latihan dilakukan enam hingga tujuh kali seminggu, di mana jadual bergilir-gilir antara sesi gimnasium dan latihan padang.

“Pada waktu malam, saya fokus belajar bahasa Jerman atau menyiapkan kerja sekolah,” katanya.

Walaupun pernah mendengar suara-suara sumbang yang mempersoalkan keputusannya bermain bola sepak kerana jantinanya, namun Qaseh Rania enggan mengalah.

“Kadang-kadang ada yang kata saya tak patut bermain bola sepak sebab saya perempuan. Tapi saya bersyukur ada keluarga dan jurulatih yang sentiasa menyokong saya.

“Saya yakin, suatu hari nanti saya mampu mengharumkan nama negara di pentas Eropah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN