fbpx

Johari ketuai lawatan kerja delegasi Malaysia ke Kenya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Johari.

KUALA LUMPUR – Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani akan mengetuai delegasi Malaysia ke Kenya untuk lawatan kerja bermula hari ini hingga 8 Mei ini.

Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) dalam satu kenyataan akhbar berkata, Johari akan mengadakan pertemuan dua hala bersama Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Kenya dalam lawatan itu.

“Perbincangan akan menumpukan kepada perluasan kerjasama perdagangan dan pelaburan khususnya dalam sektor minyak sawit serta komoditi utama lain.

“Lawatan ini mencerminkan komitmen Malaysia untuk memperkukuh hubungan ekonomi, perdagangan dan pelaburan dengan negara-negara Afrika khususnya dalam sektor komoditi dan perladangan,” kata kenyataan itu hari ini.

KPK berkata, Menteri Perladangan dan Komoditi turut dijadualkan menghadiri sesi dialog dan meja bulat bersama pemain industri dalam lawatan kerja tersebut.

Jelas KPK, ia bagi mengenal pasti kerjasama bidang strategik, mengukuhkan rangkaian perdagangan dan mempromosikan minyak sawit Malaysia di peringkat serantau serta global.

Selain itu, Johari akan mengadakan lawatan rasmi ke beberapa fasiliti industri di Kenya bagi memahami landskap pengeluaran negara berkenaan dan meneroka lebih banyak peluang kerjasama.

Ujar KPK, Kenya dianggap sebagai rakan strategik penting kepada Malaysia bukan sahaja dalam konteks dua hala, malah sebagai pintu masuk ke pasaran serantau yang lebih luas.

“Negara itu adalah ahli Komuniti Afrika Timur (EAC) yang terdiri daripada lapan negara dengan jumlah penduduk melebihi 330 juta orang.

“Kesatuan Kastam EAC yang ditubuhkan pada 2005 membolehkan produk memasuki mana-mana negara anggota seperti Kenya diedarkan secara bebas ke seluruh rantau tanpa cukai tambahan.

“Ia memberi kelebihan kepada Malaysia untuk meningkatkan eksport terutama minyak sawit secara lebih kos efektif,” kata kenyataan itu.

Menurut KPK, Kenya juga merupakan pengimport terbesar minyak sawit Malaysia di rantau Sub-Sahara Afrika, menyumbang 42 peratus daripada jumlah eksport Malaysia ke rantau berkenaan pada 2024.

Tambah KPK, Kenya malah memegang jawatan Pengerusi Sidang Kemuncak Ketua-Ketua Negara EAC serta Majlis Menteri-Menteri EAC, menjadikannya pemain utama dalam pembentukan dasar perdagangan serantau.

Justeru, lawatan kerja tersebut dilihat sebagai platform strategik untuk memperkukuh hubungan dua hala, memanfaatkan kedudukan Kenya sebagai peneraju rantau dan mengembangkan jejak Malaysia di Afrika Timur.

“Ia turut menegaskan komitmen Malaysia terhadap amalan perdagangan yang bertanggungjawab, mampan dan saling menguntungkan dalam sektor komoditi,” kata KPK. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI