fbpx
Anggota bomba menjalankan operasi mencari dua beradik yang dikhuatiri lemas di sungai Kampung Gilat, Kuala Krai hari ini. FOTO JBPM

Cucu pandai berenang tidak sangka boleh lemas mandi sungai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA KRAI – Datuk kepada dua remaja Orang Asli yang dikhuatiri lemas ketika mandi di Sungai Kampung Kilat di sini kelmarin tidak menyangka cucunya boleh tenggelam di kawasan sungai yang lebih kecil dan cetek berbanding sungai tempat asalnya.

Hamzah Yahya, 62, yang merupakan Orang Asli berketurunan Jakun berkata, dua cucunya, Irruwan Rantau, 17 dan Rahidi, 16, biasa mandi di sungai yang lebih dalam di kampung mereka di Rompin, Pahang.

Menurutnya, meskipun sedih dengan kejadian itu, dia tetap hairan bagaimana kedua-dua cucunya boleh lemas di sungai tersebut memandangkan mereka pandai berenang.

“Sungai di kampung kami lebih besar dan dalam. Setakat ini, tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku meskipun mereka kerap mandi dan memancing di sungai.

“Saya amat terkilan dan sedih dengan kejadian yang berlaku kepada dua cucu kerana ini merupakan kali pertama mereka mengikut saya bekerja di tapak semaian tembikai di Kelantan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Menurutnya, dia berharap kedua-dua cucunya itu ditemukan segera kerana dia sekeluarga dijangka pulang ke Rompin hari ini.

“Gerak hati saya mengatakan jasad mereka akan dijumpai hari ini. Sebelum kejadian, mereka bersama tiga rakan memaklumkan mahu keluar memancing di sungai yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumah kongsi,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Durian, Zulhilmi Baharudin berkata, seramai 15 anggota termasuk Pasukan Penyelamat Di Air mula menjalankan operasi pada pukul 8 pagi.

Katanya, pasukan bomba melakukan selaman dan menjalankan rondaan pada radius 10 kilometer. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN