UMAT Islam dilarang memanggil mak nyah dengan nama wanita. – Gambar hiasan

K2

Hukum mak nyah guna nama wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

APAKAH hukum mak nyah menukar kepada nama samaran wanita sedangkan dia lelaki? Adakah dengan memanggil mereka dengan nama samaran itu dikira sebagai penerimaan kita kepada komuniti mak nyah dalam masyarakat? Mohon pencerahan. 

JAWAPAN: Kami mulakan dengan menyatakan hukum lelaki menyerupai wanita atau mak nyah adalah haram. 

Pertukaran nama lelaki kepada nama wanita mengundang implikasi negatif terhadap aspek hukum. Oleh itu, umat Islam dianjurkan untuk memberi nama-nama yang baik bersesuaian dengan jantinanya, bahkan panggilan nama sebagai doa.

Perbuatan ‘tasyabbuh’ bukan setakat melakukan pembedahan pertukaran jantina, bahkan penyerupaan jantina melalui lenggok gayanya yang dibuat-buat. Hal ini berdasarkan pendapat ulama kontemporari, Yusof al-Qaradhawi yang menyatakan perbuatan menyerupai jantina termasuklah meniru percakapan, gerak geri, lenggok jalan, pakaian atau melakukan aksi perwatakan lawan jantina. (Lihat al-Halal wa al-Haram fi al-Islam 87 ). 

Sementara, gelaran nama wanita bagi golongan mak nyah (mukhannath) merupakan gelaran dusta (bohong) sedangkan pada hakikatnya (mukhannath) tersebut adalah seorang lelaki. 

Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa berbohong merupakan perbuatan dosa yang buruk serta suatu keaiban yang keji.( Rujuk al-Azkar Al-Nawawiyyah, Al Nawawi (377).

Ini bermakna, golongan mak nyah telah mengaibkan dirinya sendiri kerana memberi gelaran dusta dengan nama samaran wanita. Allah melarang mencela diri sendiri serta memanggil dengan gelaran yang tidak baik mahupun ejekan sebagaimana Firman-Nya : “…dan janganlah setengah kamu menyatakan celaan (keaiban) setengahnya yang lain dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk.” (Surah al-Hujurat: 11)

Celaan pada ayat tersebut turut membawa maksud keaiban. Imam al-Thabari Rahimahullah menyatakan celaan (keaiban) boleh berlaku melalui tangan, mata, lisan dan isyarat. 

Hal tersebut kerana orang membuka aib dirinya akan menyebabkan orang lain akan mengaibkan antara sama satu lain. Begitu juga mengaibkan orang lain seperti mengaibkan diri sendiri. 

Selain itu, umat Islam dilarang memanggil gelaran buruk mahupun mengejek yang boleh menyakiti hati orang lain (Rujuk al-Jaami’ li-Ahkam al-Quran, al-Qurtubi ( 8/214) ( Lihat al-Jaami’ al-Bayan ‘An Ta’wil Aayi al-Quran, al-Thabari (21/326)

Perbuatan ‘tasyabbuh’ jantina dipandang aib oleh masyarakat, bahkan golongan mak nyah secara terang-terangan telah berdusta memberi nama gelaran wanita yang jelas bertentangan dengan fitrah asal kelelakiannya. Perbuatan dosa secara zahir adalah dicegah oleh agama. 

Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Setiap umatku diberikan kemaafan melainkan golongan al-mujahirin. Sesungguhnya di antara perbuatan mendedahkan dosa itu adalah seorang lelaki itu melakukan perbuatan dosa pada satu malam. Kemudian dia bangun pagi dalam keadaan Allah telah menutup keaiban dirinya. Lalu dia menceritakan kepada orang lain dengan katanya: ‘Wahai si fulan, semalam aku telah melakukan perbuatan dosa itu dan ini.’ Sedangkan dia telah tidur dalam keadaan Allah menutup keaiban dirinya, lalu dia bangun dan mendedahkan apa yang Allah tutupkan dari dirinya.” (Riwayat al-Bukhari, 6069)

Hadis tersebut merujuk kepada umat manusia yang sengaja menzahirkan maksiat di khalayak ramai mahupun menceritakan dosa yang telah dilakukan kepada orang lain. Mereka yang menunjukkan maksiat turut dikatakan melakukan dosa ke atas orang lain kerana menjadi faktor umpatan manusia. Begitu juga, Allah tidak akan menjaga keaiban mereka atas faktor mereka sendiri yang menunjukkannya.

Perbuatan menyerupai jantina ‘tasyabbuh’ serta pertukaran nama tersebut telah jelas diharamkan. Jadi, umat Islam hendaklah menegah perbuatan ‘tasyabbuh’ dengan kuasa yang ada, seterusnya  menegur dengan lisan, sekiranya tidak mampu, maka membenci dengan hatinya, kerana itu adalah selemah-lemah iman sebagaimana dalam hadis berikut: “Barangsiapa antara kalian yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya, kuasa; jika tidak mampu hendaklah dengan lisan; dan jika tidak mampu hendaklah membenci dalam hati, dan itu adalah selemah-lemah iman.” (Sahih Muslim (49)

Antara salah satu usaha dakwah dengan lisan adalah memanggil golongan mak nyah dengan nama lelaki seperti nama asalnya. Cara dakwah tersebut boleh menyedarkan mereka tentang hakikat jantina mereka yang sebenar. 

Kebarangkalian dengan asbab memanggil nama lelaki secara berterusan, terdetik di ruang hatinya untuk berubah menjadi lelaki sejati. Malah, panggilan nama lelaki adalah salah satu cara tidak mengiktiraf terhadap penyerupaan mak nyah dengan tidak rela untuk memanggil nama gelaran wanita.

Selain itu, masyarakat sekeliling perlu memainkan peranan untuk membentuk semula keperibadian mak nyah ke arah sifat kelakian. Masyarakat perlu mendekati golongan mak nyah agar mereka kembali kepada fitrah kelakiannya dengan memberi teguran secara hikmah. 

Tindakan memberi sindiran mahupun memulaukan golongan mak nyah boleh menyebabkan mereka berbolak balik hatinya untuk berhijrah ke jalan yang benar. Firman Allah SWT: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.” (Surah al-Ma’idah, 2)

Secara tuntasnya, berdasarkan hujah dan dalil yang dibentangkan di atas, dapat difahami bahawa hukum menukar nama mak nyah kepada nama wanita adalah haram walaupun dengan nama samaran. 

Sama ada mak nyah tersebut menukar jantina atau tanpa menukar jantina. 

Oleh itu, umat Islam dilarang memanggil golongan mak nyah dengan nama samaran wanita. Hal tersebut sebagai tanda tidak mengiktiraf perbuatan mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN