Toman bunga atau Channa maruliodes yang juga dikenali sebagai kerandang atau emperor snakehead ini merupakan salah satu spesies ikan idaman setiap pengilat tegar. Ini kerana kesukaran mendapatkannya, kepuasan menatap corak dan warnanya yang begitu cantik serta nilai komersialnya yang tinggi.
Namun, bukanlah mudah untuk mendaratkan spesies eksklusif ini terutama di Tasik Kenyir, Terengganu yang terkenal dengan toman dan sebarau bermaharajalela di mana-mana pelusuknya.
Kebiasaannya, kami akan turun di Pengkalan Gawi, namun untuk trip kali ini, kami berenam telah sepakat untuk menyewa bot di Rumah Rakit Mina yang terletak lebih 24 kilometer (km) dari Pengkalan Gawi melalui jalan raya.
Sampainya kami di sana, pemilik rumah rakit yang lebih mesra disapa dengan panggilan Ummi telah menyiapkan bot kami di laluan gelincir (slipway). Kami pun mula bergerak ke suak pertama yang mengambil masa lebih kurang 10 minit untuk sampai.
Separuh masa pertama
Setelah semua ahli sampai ke suak yang pertama, kami pun mula membahagi kawasan kepada setiap bot agar dapat memaksimumkan peratusan strike dan tidak terlepas mana-mana tempat berpotensi di suak tersebut. Ini kerana, pada trip sebelumnya, banyak yang kami lucut dan putus di lokasi tersebut.

Setelah lebih kurang 10 minit, gewang Ozmy Paddle Pop rakan saya yang dilontar ke arah satu pelepah pokok di tepi tebing telah ‘disedut’ oleh seekor ikan yang diingatkan toman pada mulanya.
Apabila ikan tersebut berjaya ‘dipam’ berdekatan bot, barulah warna sisik ikan tersebut dapat dilihat. Cukup terang warna kekuningan sisiknya apabila terkena cahaya matahari.
Rupanya toman bunga yang membaham gewangnya.
Kami semua pun bersorak kegembiraan kerana ramai yang mengatakan toman bunga di Tasik Kenyir amat jarang dinaikkan dan antara spesies ikan ‘rare’ di sana. Setelah selesai sesi bergambar, ikan tersebut pun selamat dilepaskan semula.

Keluar saja dari muka suak, saya ternampak toman yang mengambil nafas di atas air dengan cukup gemalai. Saya pun menghayun gewang pencil Rapala Walk n Roll 13 ke arah olak air tempat toman tersebut timbul.
Dengan sedikit gerakan zig-zag, toman tersebut terus menerkam ke arah gewang saya dan membenam ke arah reba.
Joran ditahan semampunya dan akhirnya, toman bujang seberat lebih kurang dua kilogram (kg) berjaya ditewaskan.
Separuh masa kedua
Matahari mula terpancar tegak di atas kepala, kami pun mulai terasa panas dan lapar. Setelah menyantap nasi minyak yang dibungkus pagi tadi, kami pun bersiap sedia untuk bergerak semula ke lokasi seterusnya bagi meneruskan pemburuan.

Tiba-tiba, lontaran gewang bersahaja rakan saya ke celahan batu untuk membaiki talinya yang kusut tiba-tiba disambar rakus. Letupan top water toman tersebut mengejutkan kami semua yang masih lagi dalam mood berehat.
Walaupun ia cuba membenam, namun ikan berjaya juga ditahan dan dinaikkan.
Setelah selesai sesi fotografi, kami pun bergerak ke lubuk seterusnya, lebih kurang setengah jam kami blindcast (lontaran gewang secara rawak). Kemudian, kami terserempak dengan sekumpulan toman ‘rempit’ yang sedang galak mengejar anak-anak ikan di kawasan rumput tenggelam.
Dua ekor toman ‘rempit’ berjaya dinaikkan dengan soft plastic profil paddle tail oleh rakan saya. Cukuplah menjadi lesen toman buatnya.
Sebelum pulang, kami singgah semula ke lokasi toman bunga yang dinaikkan pagi tadi untuk mencuba nasib sekali lagi. Rupanya, masih ada lagi sahabatnya yang menunggu mangsanya di situ.
Seekor lagi toman bunga yang bercorak cantik dan mempunyai bunga yang banyak berjaya didaratkan. Tangkapan kedua di lubuk yang sama memberikan kami tanggapan bahawa tempat ini berkemungkinan sarang dan tempat ia berkumpul. Mungkin pada trip lain, kami boleh cuba lagi di sana untuk mencari ‘sahabatnya’.