fbpx
Darren bersama ‘temmy’ terbesarnya menggunakan gewang soft plastic.

Menjejak temensis di selatan tanah air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Saya akui, apa-apa spesies peacock bass merupakan ikan pendatang di negara kita. Ia akan merosakkan ekosistem perairan tempatan dengan memusnahkan benih-benih ikan asli kita.

Namun, spesies ikan dari Amazon ini telah merebak di perairan seluruh negara kita, terutamanya Cichla monoculus yang telah ada di sini sejak 25 tahun dahulu.

Bermula sebagai ikan hiasan dimport, ia menjadi kegilaan ramai berikutan rupanya seperti ikan siakap yang garang dengan warna kehijauan bercampur kuning dan jingga menyerlah.

Apa yang tidak disedari, lama-kelamaan ikan ini menjadi terlalu besar di dalam akuarium hingga memaksa pemiliknya lepas ke perairan umum kerana ada perasaan ‘sayang’.

Pada masa sama, berikutan terdapat permintaan tinggi, ada pengusaha yang menternak ikan ini secara skala besar-besaran di dalam kolam.

Apabila permintaan merudum, ikan-ikan ini turut dilepaskan ke perairan umum terutamanya di sekitar lombong-lombong tinggal di Perak pada penghujung tahun 90-an.

Sudi gewang

Peacock bass Cichla monoculus ini membiak dengan jayanya. Ia juga gemar meligan gewang sehingga wujud fenomena pemancing aktif mengilat ikan ini terutamanya sekitar tahun 2000 sehingga berbelas tahun selepas itu.

Kini keadaan semakin sukar dikawal, walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk mengurangkan populasi ikan ini.

Oleh kerana ramai pemancing ingin merasai keseronokan mengilatnya, ada yang membawa balik ikan peacock bass masih hidup , sebelum melepaskannya di perairan berhampiran tempat masing-masing.

Itu cerita ikan Cichla monoculus, Cichla temensis atau ‘temmy’ ini pula dahulu hanya terdapat di Singapura.

Penting bawa pita pengukur untuk mengetahui berapa besar tangkapan ‘temmy’ sebagai rekod simpanan.

Ia popular kerana saiznya yang berkali ganda besar dan kuat bertarung berbanding monoculus hingga menyebabkan ramai pengilat sanggup merentas Tambak Johor untuk melayan ikan ini di sana.

Dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini, ‘terbit’ pula si ‘temmy’ di beberapa kolam, tasik dan empangan di Johor serta Melaka.

Ada yang memberitahu, ikan ini dibawa masuk dari Singapura, dan ada memaklumkan, ia diimport terus dari luar negara.

Tidak dapat disahihkan kebenaran semua cerita tersebut.

Yang pasti, si ‘temmy’ ini berjaya membina populasi yang baik dengan saiz mega di beberapa perairan kita.

Teruja

Saya sememangnya amat me­minati aktiviti mengilat ikan peacock bass, namun tidak pernah mencuba mengewang ‘temmy’.

Apabila kerap melihat muncul di laman sosial tangkapan-tangkapan ‘temmy’ yang sangat kasar saiznya di Selatan tanah air, ini membuatkan saya ingin merasai sendiri cabaran menggodanya dengan gewang.

Lantas satu trip diset, saya bersama Darren menyewa bot bersama tekong Aring yang rumahnya berdekatan kawasan pancingan ‘temmy’.

Pada pagi itu, kami tiba agak lewat di jeti kerana jalan ke sana sedikit mengelirukan.

Sebaik tiba, tanpa berlengah, peralatan dimasukkan ke bot dan tekong terus menuju ke lokasi pertama.

Saiz ‘temmy’ idaman, tetapi kami tidak jumpa ketika trip kali ini.

Cuaca cerah dan angin bertiup lembut pada pagi itu me­rupakan suasana yang baik jika mencari ‘temmy’.

Permukaan air yang berombak bakal menyukarkan proses memburunya kerana ia akan menjadi pasif.

Pagi itu, saya rasa seperti sudah terlepas masa keemasan untuk ‘temmy’, tetapi tekong mengatakan ikan ini tidak aktif ketika awal pagi. Ia akan cergas mencari makanan apabila sinar matahari pagi mula menyerlah.

Saya merasa sedikit lega kerana kondisi pancingan ‘temmy’ rupa-rupanya sama sahaja seperti peacock bass Chicla monoculus yang biasa saya pancing sebelum ini.

Jadi, saya tidak perlu merasa risau, dan hanya mengikut tip yang saya ketahui sebelum ini.

Sampai sahaja di lokasi pertama, tekong menyarankan kami supaya menggunakan gewang selaman dalam atau jenis tenggelam saiz antara lima hingga 8.5 sentimeter (sm).

Cara terbaik adalah dengan melakukan rentapan pendek, kemudian berhenti beberapa saat memainkan gewang.

Memandangkan itu merupakan kawasan lapang, kami hanya melakukan lontaran gewang secara rawak (blindcast). Darren kena dua ekor ‘temmy’ saiz kecil dan saya masih lagi ‘zero’.

Masa ‘temmy’ aktif

Jam menunjukkan pukul 10 pagi dan matahari semakin kuat bersinar.

“Jom kita tukar lokasi. Sudah bermula masa ‘temmy’ ini,” ujar tekong.

Kami berpindah tempat dengan memasuki satu suak berhampiran.

Dari kejauhan, kami sudah nampak satu olak air muncul berhampiran kawasan bereba dan saiz ikan itu dijangka besar.

Tekong terus mematikan enjin bot dan perlahan-lahan dia mendayung ke tempat sasaran.

Suak ini dipenuhi reba berupa pokok-pokok mati yang tenggelam. Sekali imbas, kelihatan seperti di Tasik Kenyir.

Darren tukar gewang selaman dalam ke soft plastic saiz tiga inci, dia terus melempar soft plastic ke arah olak yang menimbul dan berjaya menaikkan seekor ‘temmy’ bersaiz 54sm.

Saya masih ‘kumpau’ dan tidak berputus asa.

Saya tukar gewang kepada umpan layang paten clouser berwarna chartruse dengan persembahan Carolina rig atau lebih popular dipanggil spinfly.

Sebaik dilontar ke sasaran, ia terus bersahut.

Malangnya, perambut 30 paun (lb) saya putus begitu sahaja tanpa sempat menyembat joran.

Tekong terus ketawa berdekah-dekah, dia mengatakan perambut saya tidak cukup kuat kerana di sini perlu gunakan perambut berkekuatan sekurang-kurangnya 40lb.

Nasib baik saya ada membawa perambut 50lb dan terus ia ditukar baharu.

Umpan clouser yang sama saya baling ke tempat tadi sekali lagi. Menakjubkan, ia terus disergap ‘temmy’ sebaik dikarau naik.

Mungkin kumpulannya dalam keadaan memburu (hunting mood).

Walaupun ikan tersebut bukan bersaiz mega, namun ia merupakan ‘temmy’ pertama saya.

Kami mengulang beberapa kali di tempat sama, tetapi kumpulan ‘temmy’ tadi sudah menjadi culas.

Memandangkan hari semakin panas terik, maka kami berhenti berehat di satu pulau kecil.

Selepas makan tengah hari, sesi mengilat diteruskan lagi.

Namun, angin mula melanda kawasan pancingan, dan kami perlu mencari lokasi yang permukaan airnya tenang, namun sangat sukar.

Membawa ke petang, hanya beberapa ekor ‘temmy’ bersaiz cilik kami dapat sebagai tambahan koleksi.

Saya berasa amat berpuas hati dengan trip kali ini kerana harapan saya mencari ‘temmy’ perkasa tertunai juga di satu lokasi di Selatan tanah air.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN