INILAH keistimewaan bagi pengilat di Pekan, Pahang. Kami dapat merasa suasana menggewang ikan begahak tanpa perlu naik jauh ke hulu sungai. Paling seronok, aktiviti mengilat ikan begahak ini dapat dilakukan dari tebing sahaja (land based) tanpa perlu menggunakan bot.
Di sepanjang tebing Sungai Pahang di sekitar Bandar Pekan terdapat banyak lokasi mengilat gewang dari tebing.
Ada mudah diakses, ada yang bersemak banat dan perlu dibersihkan supaya selesa, selain kawasan santai serta selamat.
Bagi saya, lokasi terbaik untuk melakukan aktiviti tersebut sudah tentulah di bawah Jambatan Sultan Abu Bakar.
Di bawahnya bersih, kereta atau motor mudah diparkir berhampiran dan dapat berteduh daripada panas dan hujan.
Begahak turun ke hilir
Musim banjir setiap tahun merupakan bencana bagi ramai penduduk terjejas, namun di sebalik itu ada pemancing yang menunggu dengan penuh harapan di sepanjang tebing di hilir Sungai Pahang.
Apabila banjir melanda, ia membawa limpahan makanan yang hanyut dari sebelah hulu ke kawasan hilir.
Bersama-sama makanan yang banyak ini terdapat kumpulan ikan-ikan kecil hanyut bersama.

Apabila adanya ikan-ikan kecil ini, sudah tentulah ikan pemangsa akan turut serta.
Masa terbaik mengilat ikan begahak bukanlah ketika sedang banjir kerana paras air yang tinggi dan keadaan arus laju hingga membuatkan aktiviti memancing tidak sesuai dilakukan.
Ikan mungkus
Pemancing biasanya akan menunggu air banjir menjadi surut.
Pada masa tersebut, terdapat banyak kumpulan anak-anak ikan yang dipanggil ‘ikan mungkus’.
Kumpulan ikan-ikan kecil seperti seluang serta lampam ini akan keluar dari sungai kecil atau alur air ketika banjir dan masuk ke sungai utama.
Pada masa itulah pemancing akan melihat fenomena sambaran ikan begahak.
Walaupun air sungai keruh, tetapi sambaran tersebut dapat dilihat dengan mata kasar kerana ia berlaku di permukaan air.
Jika kumpulan begahak betul-betul dalam mood menyerang, dapat dilihat kilasan badannya berwarna putih keperakan di permukaan air sambil menyambar anak-anak ikan.
Kumpulan ikan mungkus dan begahak ini terpaksa mudik ke hulu kerana terdapat kawasan air bersaliniti berdekatan dengan kuala ketika air pasang.
Air tawar sungai kuat bertolak dari hulu dan bertemu dengan air masin yang masuk dari laut akan menghasilkan satu zon yang membuatkan ikan-ikan ini berkumpul.
Dalam tempoh tertentu, ramai pengilat akan menebing untuk mencari ‘lesen’ ikan begahak yang dikatakan rare di Pekan ini.
Rutin
Sebelum memulakan aktiviti mengilat, saya biasanya akan memeriksa dulu keadaan air sungai dan memerhati pergerakan kumpulan ikan mungkus.
Jika terdapat pergerakan anak-anak ikan mudik ke hulu, barulah saya akan mula mengilat gewang di laluan kumpulan ikan-ikan mungkus ini.
Selalunya, kumpulan ikan mungkus ini akan memilih laluan selamat berupa alur-alur sungai yang berbatu.
Batu-batu ini merupakan struktur untuk ikan kecil berlindung daripada arus dan sergapan ikan pemangsa.
Ada ketikanya, perjalanan ikan-ikan kecil ini harus diteruskan, dan apabila ada yang melepasi kawasan berstruktur batu, masa itulah ikan begahak akan menyergapnya.
Sebab itulah saya sentiasa menyasarkan gewang di kawasan sekitar struktur berbatu, lebih-lebih lagi di olak yang arus tertahan batu.
Di bawah Jambatan Sultan Abu Bakar merupakan lokasi terbaik yang sering saya kunjungi jika kena keadaan arus sungai untuk menduga ikan begahak.
Ini kerana di sekitarnya ada kawasan berbatu yang berpotensi dan terdapat beberapa alur arus yang menjadi tempat untuk ikan begahak menyambar anak-anak ikan.
Gewang
Gewang yang selalu saya gunakan adalah jenis boleh menyelam pada paras antara satu hingga dua meter (m). Bagi kawasan alur arus yang lebih dalam pula, saya akan guna gewang boleh berenang ke paras tiga meter.
Saya tidak berani menggunakan gewang yang boleh menyelam ke takat lebih dalam dari itu ia kerap sangkut. Saya juga mendapati bahawa warna gewang yang terang dan menyerlah sangat efektif untuk begahak di air keruh, mungkin ia mudah kelihatan.
Namun pada masa sama, gewang warna gelap juga menjadi, terutamanya ketika matahari terang dan cuaca panas terik.
Gewang dengan profil gemerincing (rattling) juga efektif.
Mungkin kerana bunyi tersebut membuatkan ikan begahak peka dengan kehadiran gewang semasa ia melintasinya.
Musim mengilat ikan begahak di Bandar Pekan berlangsung sekejap sahaja bersama beransurnya air banjir.
Tanda-tanda berakhirnya adalah ketika air sungai menjadi lebih jernih akibat tujahan air masin di muara.














