Seorang pelanggan menunjukkan beras tempatan yang banyak dijual di sebuah pasar raya di Pontian semalam.

‘Ada beras murah, baru pelanggan masuk kedai’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pengguna kini boleh menarik nafas lega selepas bekalan beras putih tempatan (BPT) boleh diperoleh di mana-mana premis termasuk pasar raya di seluruh negara selepas 3.16 juta kampit beras 10 kilogram (kg) diagihkan melalui lebih 47,000 premis runcit berdaftar di seluruh negara.

Mereka juga tidak perlu lagi mencari beras tersebut dari satu kedai ke satu kedai lain kerana sebelum ini bahan asas itu sukar didapati.

Di Johor Bahru, Johor, tinjauan di beberapa pasar raya di sekitar bandar raya itu mendapati, bekalan BPT sudah dipamerkan dalam kuantiti yang banyak.

Seorang suri rumah, Siti Noor Asiah Muda, 36, berkata, dia ber­­syukur kerana bekalan beras sudah banyak dan dia boleh membelinya pada harga rendah berbanding terpaksa menggunakan beras putih import sebelum ini.

Lagipun katanya, kerajaan membenarkan pengguna membeli hingga lima kampit beras tempatan 10kg berbanding satu kampit sebelum ini.

“Saya berbincang dengan suami untuk membeli tiga kampit untuk bulan ini sebagai stok,” katanya ketika ditemui di sebuah pasar raya di Taman Suria semalam.

Dalam pada itu, di Sungai Petani, Kedah, seorang peniaga kedai runcit di Taman Kelisa Ria yang mahu dikenali sebagai Baba berkata, perniagaannya kembali rancak selepas bekalan BPT boleh didapati dengan mudah pada masa ini.

“Kalau dulu pelanggan datang ke kedai sekadar bertanya saya menjual BPT bersubsidi atau tidak sebelum mereka membeli barang keperluan lain.

“Tetapi sekarang selepas bekalan BPT mudah diperoleh, pelanggan banyak berbelanja di kedai saya dan tidak lagi perlu ke pasar raya besar yang secara langsung turut menambah pen­dapatan peniaga di pinggir ban­dar seperti saya,” katanya.

Bagi suri rumah, Haslinda Arshad, 47, dari Projek Perumahan Rakyat (PPR) Paya Nahu berkata, dia bersyukur kerana bekalan ‘beras murah’ telah mudah diperoleh berbanding sebelum ini.

“Saya yang bekerja sebagai pembantu kedai dengan pendapatan tak seberapa boleh menarik nafas lega.

“Ini kerana tidak perlu bimbang lagi berkaitan kos sara hidup yang tinggi apabila boleh membeli beras murah untuk dimakan oleh ahli keluarga seramai tujuh orang,” katanya.

Di Ipoh, Perak, beberapa pengguna yang ditemui menyifatkan bekalan BPT yang sema­kin mudah diperoleh di pasaran ketika ini boleh menjimatkan perbelanjaan harian mereka.

Seorang suri rumah, Adilah Wahab, 35, berkata, dia amat bersyukur kerana bekalan BPT sudah ada di pasaran semula.

“Dapatlah menjimatkan wang berbanding dahulu kerana harga beras import mahal, sekitar RM35 hingga RM40.

“Keluarga saya ramai, ada enam orang semuanya dan anak-anak pun semakin membesar,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN