DALAM era digital yang semakin berkembang, penstriman langsung atau live streaming telah menjadi satu fenomena global yang mengubah cara masyarakat berhibur, berkomunikasi dan menjana pendapatan.
Digelar sebagai pempengaruh e-sukan, arena penstriman games bukan sahaja dipelopori lelaki, tetapi turut diserikan dengan kehadiran wanita-wanita yang tidak gentar menghadapi stereotaip serta diskriminasi gender.
Memiliki personaliti mesra dan autentik, pemilik nama Asha Faudzi tampil menghiburkan komuniti e-sukan dengan telatah dan celotehnya ketika bermain permainan video.
Kini, wanita yang terkenal dengan nama SleepyGodzillas itu memiliki 155,400 pengikut di TikTok, 7,910 subscriber di YouTube serta kelab peminat yang diberi nama Sleepy G Family.
Menurut Asha, nama SleepyGodzillas dipilih berdasarkan dua sisi peribadinya yang agak bercanggah ketika di dunia nyata dan ketika melakukan penstriman permainan video.
“Sleepy merujuk kepada tabiat saya yang mudah mengantuk biarpun saya seorang yang sentiasa bekerja keras dalam mengusahakan sesuatu projek.
“Sementara Godzillas mewakili personaliti saya yang berubah menjadi tegas dan lasak ketika bermain permainan video kerana teruja nak menang,” katanya kepada K-Remaja.
Menyorot penglibatannya dalam e-sport, Asha mengakui dia bukanlah peminat game pada awalnya, sebaliknya bermula sejak dia berjinak-jinak dengan aktiviti tersebut sewaktu perintah kawalan pergerakan (PKP) kerana melihat ia sebagai salah satu punca pendapatan.
Graduan perniagaan antarabangsa Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu sebelum ini bahkan tidak pernah berhasrat menceburi bidang e-sukan kerana menganggap permainan video sekadar hobi orang ramai.
Wanita dalam lingkungan usia 20-an itu pernah berkhidmat selama hampir tiga tahun dalam sektor korporat, khususnya dalam bidang e-dagang (e-commerce) melibatkan jualan dan pemasaran.
Sepanjang tempoh tersebut, wanita berasal dari Kuala Lumpur itu bekerja dengan beberapa syarikat sebelum mengambil keputusan untuk berhenti pada tahun 2019 dan memulakan perniagaan sendiri.
Asha memulakan penstriman pada 14 Februari 2020, bermula dengan permainan Grand Theft Auto V (GTA V), sebelum beralih kepada PUBG Mobile dan akhirnya sinonim dengan Mobile Legends.
Lebih menarik, Asha yang tidak memiliki pengetahuan mendalam tentang permainan-permainan baharu tidak berasa malu untuk ‘menuntut ilmu’ daripada pengikutnya ketika melakukan penstriman.
“Apabila saya mulakan permainan baharu, sebagai contoh PUBG, saya terima banyak komen negatif yang panggil saya ‘bodoh’ sebab saya tak tahu main tapi buat streaming.
Lepas saya buka PUBG ID, ada dalam kalangan pengikut yang ajar saya bermain dan mereka sangat bersabar dengan saya kerana makan masa juga untuk saya mahir permainan baharu,” katanya.
Sama seperti pengalaman wanita lain dalam dunia yang didominasi lelaki, Asha mengakui air matanya banyak kali mengalir ekoran kata-kata kecaman, namun dia tetap teguh.

Bagi Asha, ketelusan dan kerendahan hatinya untuk belajar secara terbuka daripada para pengikut menjadikan ramai yang meminati pembawaannya.
Selain itu, Asha juga gemar melibatkan penonton secara langsung dalam sesi permainan, bukan sekadar bermain bersama rakan-rakan streamer.
Pendekatan ini membolehkan Asha membina hubungan mesra dan tulus dengan komuniti, sekali gus membuatkan setiap pengikutnya rasa dihargai.
Sleepy G Family yang ditubuhkan sejak 2020 merupakan antara komuniti dalam talian yang aktif dengan pelbagai aktiviti antara streamer dan pengikut.
Asha sering menganjurkan aktiviti luar seperti sesi perjumpaan, percutian, menonton wayang dan aktiviti sukan bersama ahli komuniti.
Platform seperti Discord dan Telegram digunakan sebagai medium komunikasi untuk kekal berhubung dan memperkukuh hubungan bersama pengikut.
Namun, akses ke aktiviti eksklusif seperti perjumpaan khas dan senarai rakan terpilih hanya diberikan kepada mereka yang mendaftar sebagai penyokong berbayar.
Dengan sokongan daripada jenama Predator, Asha mula beralih kepada permainan papan kekunci (PC) lebih setahun yang lalu, terutamanya dalam genre FPS seperti Valorant dan Counter-Strike.
Peralihan ini disokong oleh komuniti PC yang sangat membantu, membolehkan Asha belajar secara perlahan-lahan sebelum menguasai permainan tersebut.
Katanya, gaya penstrimannya yang santai dan berunsur komedi turut menjadikan sesi strimnya menghiburkan.
“Setiap kali saya tukar jenis permainan, saya tidak kehilangan pengikut, malah saya promosi permainan baharu kepada pengikut saya. Oleh itu, saya memilih untuk memasuki dunia permainan papan kekunci supaya pengikut saya yang bermain di peranti mudah alih boleh mencuba permainan PC,” katanya yang melakukan penstriman sekurang-kurangnya dua jam setiap malam.
Selain menjadi streamer, Asha juga pencipta kandungan yang menumpukan pada ulasan peralatan teknologi.
Untuk peranannya sebagai pencipta kandungan, Asha terlibat dalam penulisan skrip, rakaman dan proses suntingan – menghasilkan tujuh hingga lapan video setiap minggu.
“Saya belajar untuk menguasai pelbagai kemahiran teknikal seperti pencahayaan, penggunaan kamera dan suntingan video menggunakan perisian DaVinci Resolve.
Selain itu, peluang kolaborasi dengan jenama seperti Zhiyun membolehkan saya belajar penggunaan cahaya dan kamera dengan betul,” katanya yang juga merupakan pengulas serta pengacara.
Menurut Asha, streamer dan pencipta kandungan memainkan peranan penting dalam memeriahkan dunia e-sukan, malah mempunyai pengaruh yang setara dengan atlet profesional.
Katanya, biarpun streamer dan pencipta kandungan tidak membawa pulang pingat buat negara seperti atlet profesional, namun kami mampu mempromosikan sukan tersebut ke tahap lebih tinggi.
“Permainan terbaharu pada tahun lalu adalah Honor of Kings dan saya merupakan antara streamer yang memperkenalkan kepada umum.
“Sekiranya waktu kejohanan pula, peranan kami adalah menyemarakkan suasana dengan melakukan kandungan seperti temu bual atlet dan sebagainya,” katanya.














