MENJADI individu yang agak lambat terdedah kepada gajet tidak membuatkan komposer dan penulis lirik, Ikhwan Fattana terlampau kekok untuk menggunakannya selepas dihadiahkan oleh ibu bapa.
Memiliki gajet audio, walkman dan telefon bimbit jenis Nokia 8250 atau lebih dikenali sebagai Butterfly, Ikhwan Fattana mengakui dia tidak mengambil masa lama untuk mengendalikan gajet berkenaan.
Katanya, pada ketika itu kedua-dua gajet ini sinonim untuk remaja seusianya dan dia juga banyak merujuk rakan-rakan dan juga belajar sendiri cara menggunakan peranti tersebut.
“Mula-mula saya dapat gajet memang sangat gembira, tambahan pula masa itu ia sudah jadi trend dan permulaan kepada era teknologi dalam komunikasi serta audio muzik.
“Ia tidak terlalu sukar untuk saya menggunakannya kerana fungsi gunanya sangat ringkas, bagi telefon bimbit juga sama kerana pada zaman itu ciri-cirinya masih pada tahap asas,” katanya ketika ditemui K-Tekno di Damansara Perdana, Selangor baru-baru ini.
Tambahnya, pendedahan kepada kedua-dua gajet ini juga mencetuskan minatnya terhadap dunia muzik, dengan penggunaan walkman dia banyak mendengar lagu menerusi radio dan kaset serta memiliki koleksi lagu-lagu tersendiri.
Malah, menerusi telefon bimbit pula, dia juga sering menaip kod nada dering untuk menetapkan nada panggilan masuk atau mesej pada peranti berkenaan.

Seperti pengguna gajet lain, komposer lagu Hening Rindu nyanyian Marsha Milan itu juga melalui fasa peralihan peranti daripada telefon bimbit kepada telefon pintar.
Kongsinya, dia memiliki telefon skrin sentuh pertama iaitu daripada jenama LG hadiah daripada bapa saudaranya sebelum beralih kepada telefon pintar dari jenama Xiaomi.
“Masa bertukar telefon dari jenis kekunci kepada skrin sentuh memang teruja dan bangga kerana sudah memiliki peranti moden.
“Sehingga adanya Android, ketika itu fasa telefon sudah memiliki ciri pelbagai guna dan saya turut memanfaatkan ia untuk merekod idea karya-karya lagu,” ujarnya.
Katanya lagi, dia turut beralih daripada menjadi pengguna Android kepada Apple selepas diperkenalkan dengan produk jenama itu oleh rakan komposer Omar K.
Kongsinya, dia tertarik dengan produk Apple iaitu Iphone yang baginya mudah dikendalikan di samping sangat membantu dalam kerjayanya sebagai komposer dan penulis lirik.
Hal ini kerana, Apple mempunyai sistem rangkaian user experience yang memudahkan pemindahan data. Ciri ini penting untuk Ikhwan Fattana memindahkan ilham lagu dari telefon ke peranti komputer ribanya, Macbook Pro.
“Peranti Apple turut saya gunakan untuk gajet studio kerana ia memudahkan kerja-kerja saya menghasilkan karya lagu.
“Dalam kerjaya, saya amat perlukan gajet untuk terus menghasilkan idea-idea penciptaan lagu dan perlu cepat merekod supaya ia tidak hilang dari fikiran, malah saya juga perlukan gajet setiap masa kerana ia membantu kekalkan momentum dalam bekerja,” katanya.














