PUTRAJAYA – Pertemuan empat mata antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Maldives, Dr. Mohamed Muizzu sempena kunjungan beliau ke Malaysia hari ini membincangkan pelbagai isu termasuk industri halal dan perdagangan.
Menurut Anwar dalam hantaran yang dibuat di Facebook rasmi beliau, pada masa sama, kedua-dua pemimpin turut membincangkan isu-isu strategik lain seperti pelaburan, pendidikan, pelancongan, belia dan sukan.
“Pagi tadi, saya meraikan Dr. Muizzu yang kini dalam rangka lawatan rasmi ke Malaysia bagi mengukuhkan hubungan dua hala merentasi pelbagai sektor.
“Ini merupakan lawatan rasmi julung kalinya beliau ke Malaysia sejak dilantik sebagai Presiden Maldives pada 17 November 2023,” katanya tadi.
Anwar berkata, sebaik tiba di Perdana Putra, Presiden Muizzu dan delegasi diberikan sambutan rasmi, diikuti pemeriksaan Pasukan Kawalan Kehormatan dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja.
“Berlatar belakangkan Masjid Putra, usai istiadat sambutan rasmi, saya dan Presiden Muizzu menghadiri mesyuarat terhad bersama kepimpinan kedua-dua negara.
“Ia bagi membincangkan isu-isu strategik, khususnya dalam sektor perdagangan dan pelaburan, industri halal, pendidikan, pelancongan, belia dan sukan,” katanya. – KOSMO! ONLINE