YAN – Insiden jangkitan penyakit membabitkan pelajar tingkatan dua dan kakitangan sebuah sekolah menengah di daerah Kuala Muda, dekat sini tidak seburuk seperti ditularkan di media sosial.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Kedah, Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, pada masa ini hanya seorang pelajar dan seorang kakitangan masih dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani.
Katanya, pelajar yang sebelum ini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan pemandu bas berusia lingkungan 30-an itu kini dalam keadaan stabil.
“Sementara enam pelajar yang turut terlibat telah dibenarkan kembali ke asrama selepas diberikan rawatan sebagai pesakit luar di HSAH,” katanya ketika ditemui selepas melawat kem latihan itu, di sini hari ini.
Mansor berkata, siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian termasuk pengambilan sampel air dan darah.- KOSMO! ONLINE